suria

Keluarga Sabah hijrah ke KL demi duit lebih, tak mahu cuma cukup makan! Suami jadi pemandu e-hailing, gembira anak dapat sekolah

Seorang lelaki dari Sabah berhijrah ke Semenanjung mencari rezeki sebagai pemandu e-hailing. -Gambar hiasan

REZEKI ada di mana-mana dan yang pasti, tidak pernah salah alamat!

Ada juga yang sanggup berhijrah demi rezeki,seterusnya dapat meneruskan kelangsungan hidup diri sendiri dan seisi keluarga.

Begitulah nekad seorang pemandu e-hailing yang mencari rezeki di Kuala Lumpur, di bandar raya yang mana kos sara hidupnya tinggi.

Berkongsi cerita, Firdhaus Muntazar yang menggunakan perkhidmatan e-hailing pemuda itu pada mulanya menyangka dia merupakan warga Indonesia, kemungkinan daripada bunyi pertuturannya.

"Rupanya orang Sabah, baaaa. Orang Kota Kinabalu (KK). Dah duduk Kuala Lumpur (KL) selama 20 tahun.

"Isteri pun orang KK. Dah ada anak-anak, mereka pun bersekolah di KL," katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Suami isteri membuat keputusan untuk berhijrah dari Sabah ke Semenanjung. -Gambar hiasan

Disebabkan pemandu e-hailing itu bersama isterinya berasal dari Negeri Di Bawah Bayu, timbul tanda tanya kenapa kedua-dua mereka berhijrah ke Kuala Lumpur memandangkan kos sara hidup di ibu kota adalah lebih tinggi.

"Saya tanya dia, Kalau isteri pun orang Sabah, kenapa tak tinggal kat sana je? Duduk KL ni kos tinggi. Kalau KK mungkin rendah lagi kot," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu e-hailing mengaku kerja ‘gomen’... Isteri dah 2 tahun tertipu, siap buat loan beli Honda fikir suami mampu bayar

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri dalam pantang dapat kereta Honda... Bapa 7 anak ini letak ‘benchmark’ tinggi hargai pasangan, pernah cuti setahun urus bayi kembar

Namun pemandu itu dengan selamba memberi jawapan yang sememangnya tidak disangka-sangka sehingga membuatkan dirinya diam terkedu.

"Jawabnya, Kalau di Sabah, saya kerja petani. Memanglah kalau nak makan, kerja memang dapat makan. Tapi susah nak ada duit lebih.

"Kalau di KL, senang nak ada duit. Jadi makan pun dapat, duit nak bayar anak sekolah pun dapat, nak simpan duit sikit pun dapat," katanya yang mengimbas kembali perbualan di antara mereka berdua.

Ibu bapa perlu menyediakan perbelanjaan sekolah buat anak-anak. -Gambar hiasan

Pemuda itu berkata, pemandu e-hailing itu memaklumkan dia baru melakukan kerja tersebut pada tahun ini.

Menurut Firdhaus, lelaki itu sebelum ini merupakan jurukimpal, namun terpaksa berhenti kerja kerana faktor kesihatan.

"Dah kenapa berhenti? Tangan kanan saya sudah macam tak bertenaga, lemah. Aku intai tangan kanan dia. Jari telunjuk dan jari tengah seperti kudung di bahagian depan.

"Mula-mula aku ingat pandangan aku salah. Tapi selepas dua hingga tiga kali tenung betul-betul, sungguh kudung. Cuma aku tak berani nak bertanya," tambahnya.

Dia bersyukur dengan rezeki yang diberi. Cukup lepas untuk isteri dan anak-anak dah memadai.

WARGA MAYA

Bercerita lanjut, kata Firdhaus, lelaki Sabah itu selesa bekerja sebagai pemandu e-hailing, kerana sekurang-kurangnya dapat menyediakan perbelanjaan sekolah untuk anak-anak dan mempunyai simpanan.

"Bolehlah, janji lepas anak-anak sekolah. Ada duit lebih sikit," ujar pemandu itu.

Ramai suami sanggup melakukan pelbagai kerja demi kesenangan isteri dan anak-anak. -Gambar hiasan

Bagi Firdhaus, tanpa perlu berdepan kisah sedih, perjalanan hidup pemandu e-hailing berkenaan sudah terselit banyak pengajaran.

"Kadang-kadang kita rasa kita tak ada apa. Ya Allah, kenapa aku diseksa sebegini? Kenapa aku susah? Tapi kita ada kudrat, bakat dan alat.

"Cuma kadang-kadang tak tersampai akal untuk guna mana perlu mencari rezeki. Dan kadang-kadang kita tak perlu sampai ke bulan untuk rezekiNya.

"Cukuplah isi perut. Ada duit nafkah, duit simpan, duit untuk bernikmat. Kalau Dia beri lebih, kita terima Alhamdulillah. Kalau Dia beri lebih, kita lebihkan pada anak-anak, keluarga dan orang kita sayang," katanya lagi.

Menerusi ruangan komen, rata-rata warga maya turut kagum dengan usaha dan semangat pemandu e-hailing dari Sabah itu.

"Dia bersyukur dengan rezeki yang diberi. Cukup lepas untuk isteri dan anak-anak dah memadai. Semoga terus diberikan kesihatan yang baik buat 'brader' Sabah ni.

"Setiap orang ada rezeki daripadaNya. Ada yang nampak kecil di mata kita, tetapi nampak besar di mata orang lain. Yang penting terus melangkah dan terus berjuang dalam mencapai kebahagiaan kehidupan," komen beberapa warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain