suria

Setiap malam nak duduk dalam peti sejuk... Bayi hidap kanser mata tahap 4 ini kepanasan kesan kimoterapi

Alisa dilahirkan normal sebelum didiagnos menghidap kanser mata tahap 4 ketika berusia setahun.

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul bebanan.

Demikianlah peribahasa sesuai bagi menggambarkan penderitaan seorang kanak-kanak perempuan, Alisa Umairah Nur Hisham, yang mengalami masalah penglihatan selepas disahkan menghidap kanser mata tahap empat.

Kisah kanak-kanak ini mendapat perhatian ramai selepas video siaran live bersama TikToker popular, Asraf Jaafar atau AcapS menjadi tular.

Menerusi siaran live berkenaan, bapa Alisa iaitu Nur Hisham Abd Hamid berkongsi serba sedikit kisah mengenai anaknya yang gemar duduk di peti ais bagi mengurangkan kepanasan akibat kesan kimoterapi, sehingga mengundang sebak pempengaruh tersebut serta warga maya.

Berkongsi cerita mengenai anak bongsunya dengan mStar, Nur Hisham berkata Alisa didiagnos menghidap kanser mata ketika berusia setahun.

baby 1 new

Nur Hisham dan isterinya tidak jemu berikhtiar mendapatkan rawatan terbaik untuk Alisa.

"Berat rasanya mendengar perkhabaran daripada doktor. Alisa bayi yang comel dan waktu dilahirkan kedua-dua matanya normal.

"Selepas itu matanya dikesan ada masalah dan akhirnya doktor maklumkan terpaksa buang kedua-dua matanya. Tak dapat bayangkan perasaan saya dan isteri waktu tu.

"Kami cuba berikhtiar dan berubat secara tradisional sebab tak sanggup tengok matanya dibuang pada usia yang masih kecil. Namun keadaan tak berubah, kami akhirnya terpaksa akur matanya dibuang," ujar bapa kepada tiga cahaya mata ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Benjolan saiz bola golf di leher rupanya kanser limfoma! Pemuda ini ambil ‘exam’ sambil kemoterapi... Alhamdulillah, SPM 8A

ARTIKEL BERKAITAN: Bayi hilang mata kanan, derita kanser sejak usia 9 bulan... Ibu kagum si comel kuat lalui 5 kitaran kemoterapi

Nur Hisham, 30, yang menetap di Labis, Johor berkata, Alisa selamat menjalani pembedahan membuang kedua-dua belah matanya pada Mei dan Julai lalu, dan kini memakai mata palsu.

Mengakui bukan sedikit kos yang perlu ditanggung bagi membiayai rawatan anaknya yang kini berusia setahun sembilan bulan, Nur Hisham mendedahkan dia terpaksa menjual motosikal, satu-satunya kenderaan yang ada untuk mendapatkan wang.

Pendapatan saya sebenarnya hanya lepas bayar bil api, air dan makan apa adanya.

NUR HISHAM ABD HAMID

BAPA

"Saya hanya bekerja di estet manakala isteri suri rumah. Dalam sebulan, saya tak kerja penuh kerana Alisa perlu ulang-alik ke hospital di Kuala Lumpur.

"Kami ke sana naik kereta api. Pendapatan saya sebenarnya hanya lepas bayar bil api, air dan makan apa adanya. Kadang-kadang terpaksa minta bantuan rakan pinjam duit.

"Untuk ke mana-mana, buat masa ini, saya pinjam motosikal milik ibu dahulu. Biarpun begitu, saya dan isteri berusaha sedaya upaya kerana bagi kami, kesihatan Alisa perlu diberi keutamaan," katanya lagi.

Tidak menyangka kisah anaknya menjadi tular, Nur Hisham berkata dia sama sekali tidak berniat untuk meraih simpati ramai.

baby 2 new

Alisa merupakan bayi yang keletah dan aktif sebelum menderita kanser mata.

"Sebenarnya waktu tu saya live sementara tunggu Alisa tidur. Sejak kimoterapi, Alisa sukar tidur... biasanya dia minta duduk di peti ais dan hanya tertidur sekitar pukul 2 atau 3 pagi.

"Tiba-tiba AcapS ajak join live. Saya sembang santai-santai cerita pasal Alisa. Selepas daripada live tu, ramai yang DM, komen. Ada yang nak hulurkan bantuan, berdoa untuk Alisa.

"Saya nak ucapkan terima kasih sangat kepada mereka yang berkongsi rezeki dan doakan anak saya. Saya sebolehnya tak nak susahkan orang. Tapi saya anggap ini mungkin rezeki Alisa.

"Saya doakan mereka yang baik hati ini dimurahkan rezeki dan dipermudahkan urusan. Jika tak keberatan, doakan Alisa bebas kanser dan lekas sembuh," akhirinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain