suria

Anak-anak roboh dapur rumah pusaka, terkejut nampak kayu merah depan rumah... Baru sedar dah lama ‘langgar’ tanah jiran!

Kerja-kerja meroboh dan baik pulih kediaman giat dilakukan.

ISU binaan bahagian kediaman hingga memasuki tanah milik jiran sama ada secara sedar atau tidak sengaja banyak berlaku dalam masyarakat.

Situasi sama berlaku kepada sebuah keluarga ini apabila mereka diberitahu sebahagian kecil kediaman mereka di Tapah, Perak dibina di atas tanah milik jiran.

Menurut Shakira Shahimi, perlanggaran hak berkenaan hanya disedari selepas jirannya mendapatkan khidmat juru ukur bagi menentukan pesempadahan tanah.

Penanda sempadan menunjukkan kawasan yang diceroboh termasuklah palung najis.

"Rumah ni milik arwah mak, tapi dia sudah meninggal 10 tahun lepas akibat kanser. Sebelum pembinaan, mak sudah tanya tuan tanah. Jadi tak ada apa-apa isu sehingga rumah ini siap.

"Tapi lepas ibu meninggal, jiran nak buat pagar sempadan longkang antara rumah. Dia panggil juru ukur bertauliah. Selepas tu baru tahu secara sahih ukuran dan sempadan yang betul.

"Jadi jiran tu pacak sebatang kayu bertanda merah. Maknanya rumah kami sudah masuk bahagian tanah jiran," katanya ketika dihubungi mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Jiran ada hampir 10 kereta, parkir merata halang laluan! Lewat bangun pagi, selagi tak kejut tak kan alih kenderaan

ARTIKEL BERKAITAN: Jiran ‘rancak’ besarkan rumah, lelaki terkejut juru ukur sahkan 70 peratus binaan berada atas tanahnya - “Dia buang kayu penanda”

Menurut Shakira, hasil ukuran semula mendapati sebahagian dapur dan bilik air rumahnya seluas 45 sentimeter berada di dalam tanah jiran.

Sehubungan itu dia dan adik-beradiknya memutuskan untuk merobohkan ruang tersebut selain mengalihkan palung najis yang sudah dibina sejak sekian lama.

"Pada 15 tahun yang lepas, sempadan hanya dibuat menggunakan pokok kelapa. Cara orang dulu-dulu letak sempadan. Sebab itu jiran kata tak payah robohkan sebab sudah lama berjiran.

Saya anggap ini adalah tugas kami sebagai anak untuk selesaikan urusan mak yang tertangguh.

SHAKIRA SHAHIMI

"Tapi untuk mudahkan proses, kami robohkan terus dapur. Tiang-tiang dapur dan atap zink yang melebihi kawasan ditanda tu juga dipotong supaya semuanya berada di dalam kawasan kami sahaja.

"Kami adik-beradik juga akan kecilkan sedikit dan bina semula ruang dapur. Bilik mandi dan tandas pun kami kecilkan ruang... jadi tak masuk tanah jiran lagi," ujarnya.

Tambah Shakira dia bersyukur apabila diberitahu jiran tentang hal pelanggaran hak tanah itu kerana mereka adik-beradik faham tentang hukum agama.

Malah menurutnya, mereka berharap dengan penyelesaian isu berkenaan ia akan memudahkan urusan arwah ibunya di akhirat.

Jelas Shakira lagi, rumah tersebut kini didiami kakak sulungnya yang merupakan ibu tunggal memiliki tiga cahaya mata.

Ruang dapur dan tandas dibina semula dengan saiz lebih kecil.

"Saya berasa lega urusan dan prosesnya berjalan dengan lancar. Allah permudahkan segalanya. Walaupun 45cm langgar tanah jiran, tapi mana boleh roboh sikit-sikit.

"Kos yang kami belanjakan untuk meroboh dan membaik pulih menelan belanja kira-kira RM25,000.

"Saya anggap ini adalah tugas kami sebagai anak untuk selesaikan urusan mak yang tertangguh. Tak ada apa yang rugi, mak sudah lama tunggu kami buat benda ni. Maaf mak sebab lambat tahu.

"Saya berterima kasih juga pada jiran sebab beritahu bahawa sebahagian rumah kami dah masuk tanah mereka. Kalau tak sampai sudah tak tahu palung najis tu pun dalam tanah orang. Allahuakbar, terima kasih atas teguran ini," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain