suria

Nasi lauk ayam terabur di kantin, budak lelaki pasrah tak sempat makan... Nasib baik ada penyelamat, terus dapat ganti!

Seorang murid lelaki secara tidak sengaja tertumpah nasi dan lauk ayam yang dibeli.

SUDAH menjadi lumrah seorang ibu untuk berikan yang terbaik buat anaknya.

Melalui satu video tular di TikTok, seorang wanita membuat lawatan ke kantin sekolah anaknya bagi melihat juadah apa yang dimakan si kecil ketika waktu rehat.

"Masa ni tengah siasat apa yang abang beli untuk makan dekat sekolah rendah, sebab dia asyik mengadu lapar," ujarnya ringkas memberikan penjelasan.

Ayam goreng baharu dihadiahkan sebagai ganti kepada seorang murid.

Walaupun begitu, ketika membuat pemantauan wanita berkenaan terkejut apabila melihat seorang kanak-kanak tersandung di hadapan matanya, sehingga makanan yang dibawa jatuh bersepah di atas lantai.

"Allahuakbar nasi terabur. Alahai kesiannya, mungkin tangan budak tu tak kuat nak pegang pinggan satu tangan je," kata wanita tersebut bersimpati.

Lantaran itu, naluri keibuan wanita berkenaan pantas mendorongnya untuk menegur kanak-kanak malang terbabit.

ARTIKEL BERKAITAN: Kantin sekolah jual menu restoran, chicken chop pun ada! Paling tak sangka harga murah-murah, bawa RM3 pun dah kenyang

ARTIKEL BERKAITAN: Bayar RM2 dapat nasi putih, seketul ayam goreng saiz ibu jari! Netizen sedih tengok menu kantin sekolah - “Tak sampai hati hidang macam tu”

"Adik mari sini, nasi jatuh ke? Berapa ringgit nasi tu, RM1.50 ya? Ada lagi tak duit dalam dompet nak beli lauk baharu? Pergi tanya makcik kantin berapa kena bayar kalau nak ayam je," kata wanita itu kepada kanak-kanak berkenaan.

Namun kanak-kanak tersebut segan untuk menerima pelawaan wanita terbabit dan hanya pasrah.

"Alahai bersihnya hati budak ni. Tak mengapa, makcik pergi tolong tanyakan," ujar wanita itu bingkas bangun untuk membantu kanak-kanak tersebut.

Teringat pula anak dekat sekolah, macam mana agaknya keadaan setiap hari sebab dia pun sejenis cuai juga.

WARGA MAYA

Ketika berbual dengan peniaga kantin, wanita itu berasa kagum susulan melihat harga ayam goreng yang dijual murah di kantin sekolah tersebut.

"Oh RM1 je untuk satu ayam goreng. Baik saya beli satu, murah betul ya, sebab nak jual dekat budak-budak kan. Terima kasih," kata wanita itu sambil berlalu pergi dengan ayam goreng yang sudah dibungkus plastik.

Setelah itu, wanita tersebut menyerahkan ayam goreng berkenaan kepada kanak-kanak terbabit.

"Nah ayam untuk adik, lain kali bawa pinggan elok-elok ya, jangan berlari. Seronok dapat tengok muka adik ni tersenyum," ujarnya.

Pelayar bertukar pandangan.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya memuji keprihatinan wanita itu.

"Mula-mulanya nak jadi penyiasat, hujung-hujung jadi penyelamat. Syabas sis! Tapi saya perhatikan budak kecil memang macam tu, bawa pinggan sampai tak sedar dah senget.

"Tengok video ni, teringat pula anak dekat sekolah. Macam mana la agaknya keadaan dia setiap hari, sebab dia pun sejenis yang cuai juga. Sedih kita mengenangkan.

"Pernah juga nampak seorang budak ni nak beli susu tapi tak cukup duit, saya ingat nak tolong bayarkan tapi abang yang jual tu lagi laju buat amal kebaikan, dia dah belanja dulu," kata sebahagian warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain