RAMAI yang menganggap mencari rezeki dengan bekerja sebagai penghantar makanan atau rider mudah untuk dilaksanakan. Namun hakikatnya, kelompok ini perlu berdepan dengan pelbagai cabaran dan dugaan terutama melibatkan ragam pelanggan. Menerusi satu hantaran tular, seorang lelaki berkongsikan situasi yang dialaminya selepas menghantar pesanan seorang pelanggan warga asing. Apa yang menyedihkan, dia sebenarnya ditipu oleh individu tersebut di saat tubuh masih dibasahi keringat. "Warga asing menipu order, viralkan sampai warga asing ni melutut minta maaf," ujarnya bersama hantaran video di laman TikTok fadlibakar97. Penyata gajinya dalam tempoh seminggu. Berkongsi cerita dengan mStar, Mohamad Fadli Abu Bakar berkata, kejadian tersebut berlaku pada 19 Ogos lalu semasa mendapat dua pesanan dari pusat beli belah terkemuka di Bandar Puteri Bangi, Selangor. "Satu pesanan hantar berdekatan dengan pasaraya Lotus iaitu rumah warga asing ni dan satu lagi agak sedikit jauh. "Kalau ikutkan sistem syarikat, dia arahkan saya hantar pesanan pada alamat yang jauh tu dulu. "Tapi dah alang-alang boleh hantar yang dekat, saya terus ke lokasi dia (rumah warga asing)," kata pemuda berusia 27 tahun ini lagi. ARTIKEL BERKAITAN: 12 jam sehari atas motor, rider sedap gaji hampir RM2,000 seminggu! Kini derita slip disc... Kewangan merudum, nak bergerak pun susah ARTIKEL BERKAITAN: Ramai rider jadi ‘bangau’, wanita ini buka rahsia kepayahan kerja servis penghantaran... Perit nak dapat RM5,000 sebulan Dia yang mula menjadi rider sejak awal tahun lalu berkata, selepas meletakkan pesanan di tembok rumah pelanggan terbabit, dia terus bergerak ke satu lagi lokasi. Bagaimanapun, selepas beberapa minit, dia kembali menghubungi pelanggan pertamanya dan menyatakan pesanan telah diletakkan di atas tembok seperti yang diminta. Namun dia dikejutkan dengan mesej balas yang diterima apabila pelanggan terbabit menyatakan pesanan telah dihantar ke alamat lain. Perkara ni tak valid sebab button drop point yang saya tekan tak kena tepat pada alamat pelanggan. MOHAMAD FADLI ABU BAKAR "Selang beberapa minit, saya terdetik nak WhatsApp nombor warga asing tu mengenai barang dia yang dah diletakkan di atas tembok. "Dia cakap, salah alamat kerana rumahnya di Jalan 5/3D, tapi saya hantar di Jalan 5/2D. "Saya terus patah balik, ambil pesanan tu dan letak semula di tembok rumah dia. Saya ambil gambar sekali lagi sebagai bukti dan hantar pada dia," ujarnya tanpa mengesyaki apa-apa penipuan. Menurut anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini, dia hanya menyedari terdapat pemotongan gaji selepas tiga hari insiden tersebut berlalu iaitu semasa memeriksa penyata mingguan. Lebih mengejutkan apabila penolakan adalah berpunca daripada aduan berkenaan penghantaran di rumah warga asing tersebut. Servis penghantaran memudahkan urusan sesetengah individu. -Gambar hiasan "Penolakan sebanyak RM70 sebab warga asing ni cakap dia tak dapat barang... jadi saya terus hubungi dia untuk bertanya lanjut. "Dia putar belit cerita dan tak nak mengaku salah... tapi dia sendiri mengaku barang tu memang dia terima," tambahnya sambil menyatakan individu tersebut telah menyekat nombor telefonnya selepas didesak. Berhasrat untuk membuat laporan polis berhubung situasi yang dialami, dia bagaimanapun dimaklumkan bahawa perkara yang berlaku bukanlah di bawah bidang kuasa pasukan keselamatan. Susulan itu, dia mengambil keputusan untuk pergi ke rumah pelanggan warga asing berkenaan untuk berbincang. Namun malangnya, individu tersebut enggan keluar seperti yang dipaparkan dalam video tular. Warga maya turut bersimpati pada Fadli. "Saya ada juga lapor pada syarikat perkhidmatan penghantaran makanan, tapi perkara ni tak valid sebab button drop point yang saya tekan tak kena tepat pada alamat pelanggan," tambahnya. Meskipun menganggap perkara tersebut telah selesai selepas video tular dan dihubungi pihak syarikat perkhidmatan penghantaran makanan terlibat, dia berkata, perkongsian video tersebut hanyalah sebagai peringatan kepada rider lain supaya lebih berhati-hati. Menurutnya, perkara yang perlu dititikberatkan adalah 'pin point' lokasi penghantaran supaya tepat di rumah pelanggan. Dalam pada itu, dia yang mesra dikenali sebagai Fadli turut menzahirkan rasa syukur apabila terdapat individu yang sudi menggantikan jumlah penolakan berkenaan. "Ada hamba Allah dah gantikan balik duit tu, saya pun dah reda. "Saya menolak pada permulaan tapi dia berkeras juga nak bagi," ujarnya yang turut melakukan kerja sampingan sebagai tukang urut. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube