PENGALAMAN adalah 'guru' terbaik untuk sesiapa sahaja dalam mengharungi kehidupan ini yang penuh berliku. Menerusi hantaran di Facebook, seorang lelaki berkongsi situasi dialami selepas pertama kali terlibat dalam pelaburan hartanah. Jelasnya, dia mengalami kerugian besar akibat tidak mengambil wang deposit daripada penyewa sebagaimana yang diamalkan kebanyakan pemilik rumah. Memulakan cerita, pemilik akaun Muhammad Iqbal Hamzah menyatakan masalah tersebut berpunca selepas dia menyewakan sebuah rumah kepada pasangan suami isteri yang berusia 32 tahun. Penyewa terbabit juga meminta dia menyediakan notis mengosongkan rumah. Menurutnya, pasangan terbabit bukan sahaja culas membayar sewa malah kini mempunyai tunggakan melebihi RM3,000. Susulan itu, dia terpaksa mengambil tindakan tegas dengan mengarahkan penyewanya untuk mengosongkan rumah. "Lebih RM3,000 sewa tertunggak, maka nak tak nak terpaksa halau keluar. Bukan OKU (orang kurang upaya), suami isteri sihat tubuh badan. "Bukan orang tua, suami isteri baru 32 tahun. Dari awal menyewa tak pernah bayar tepat pada masanya," ujarnya sambil menyatakan penyewa tersebut bekerja sebagai tukang rumah. ARTIKEL BERKAITAN: Menyesal bagi penyewa ‘rasmi’ rumah teres baru beli, pemilik sayu unit dilingkupkan! Sewa tak sampai 2 tahun ARTIKEL BERKAITAN: Ejen rumah sewa tak beragak kaut untung! Wanita lega dapat jimat banyak lepas jumpa ‘owner’, dedah caj tersembunyi Mengakui kesal kerana tidak bertegas soal deposit rumah sejak awal pertemuan, ujar lelaki ini, penyewanya juga seolah-olah tidak berasa malu apabila sering meminta pinjam wang daripadanya. "Dari awal menyewa tak pernah on time bayar sewa, kadang-kadang siap minta pinjam duit dari tuan rumah lagi. "Patut red flag masa mula-mula dulu apabila deposit pun tak ada. Bagi juga sewa sebab kesian, sekali makan diri," luahnya kesal. Malah katanya, pengalaman tersebut membuatkan dia mula memahami kenapa kebanyakan tuan rumah 'mewajibkan' bayaran deposit kepada penyewa selain memilih pasangan yang kedua-duanya bekerja. Saya dah serik bagi sewa pada orang, jadi sekarang semua rumah saya dijadikan homestay je. WARGA MAYA Mengimbau kenangan ketika pertama kali menceburkan diri dalam bidang hartanah, ujar Muhammad Iqbal, rumah sewa berkenaan dibeli ketika dia mula mempelajari bidang berkaitan. Malah ia dibeli menggunakan payment voucher (PV) atau dokumen rasmi berhubung pembayaran yang dibuat oleh syarikat. "Guna PV untuk mohon... minta agensi sediakan untuk tempoh enam bulan, Alhamdulillah lepas loan," kongsinya lagi. Menurutnya, rumah tersebut pada asalnya berada dalam keadaan teruk sehingga dia terpaksa membelanjakan sejumlah RM20,000 untuk membaik pulih keseluruhan ruang sebelum dibuka untuk sewaan. Antara reaksi warga maya di ruangan komen. Menjengah ke ruangan komen, warga maya tampil dengan pelbagai reaksi. Tambahan pula Muhammad Iqbal turut menyatakan pihak baitulmal pernah membantu menyelesaikan bayaran sewa selama lima bulan pasangan terbabit selain mempunyai tunggakan utiliti hampir RM800. "Saya ada pengalaman jual rumah pemilik, penyewa suami isteri yang masih muda dan sihat tubuh badan. Pemilik maklumkan yang duit sewaan dibayar oleh baitulmal. "Senangnya hidup dia, apabila sudah biasa disuap, lama-lama nak suap sendiri pun tak pandai. "Saya dah serik bagi sewa pada orang, jadi sekarang semua rumah saya dijadikan homestay je. "Dana baitulmal disalahguna bagi menyara golongan sihat tubuh badan untuk bekerja? Even sesetengah yang sudah mampu, masih lagi terus menerima bantuan tersebut," demikian reaksi beberapa warga maya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube