PASTI ramai dalam kalangan kita biasa mendengar ungkapan berunsur nasihat iaitu jangan tersalah memilih kawan. Pendek kata, tidak salah untuk berkawan dengan sesiapa pun namun kita disarankan untuk berhati-hati lebih-lebih lagi jika individu berkenaan boleh dikategorikan sebagai 'bermasalah'. Terpanggil untuk berkongsi satu kisah sebagai teladan, seorang peguam, Sam Masri menerusi laman TikTok miliknya menceritakan kes membabitkan anak guamnya yang terpalit dengan kes dadah gara-gara melepak di rumah rakan. "Hari ini kita berada di Mahkamah Tinggi Klang, ada kes pembelaan pada pagi ini. Bila dimaksudkan kes pembelaan ni, adalah di mana pihak pendakwaan berjaya membuktikan satu kes prima facie di akhir kes pihak pendakwaan. "Oleh itu tertuduh dipanggil untuk membela diri. Dalam kes ini, tertuduh iaitu anak guam kami, dia pergi ke rumah sahabat dia. "Dan baru lima minit dia di tempat tersebut, rumah tersebut diserbu pihak polis. Dia bersama sahabatnya ditangkap dan dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya," katanya dalam video tersebut. Pertuduhan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya boleh membawa kepada hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. -Gambar hiasan Menurut peguam berkenaan, di peringkat pembelaan, pihaknya akan mengemukakan hujah bagi pihak tertuduh untuk membuktikan dirinya tidak bersalah. "Jadi kita akan beri versi tertuduh, bagaimana dia berada di rumah tersebut, mengapa serta bagaimana dikatakan dia tidak mengetahui mengenai kewujudan bahan dadah tersebut," ujarnya. Dalam masa yang sama, peguam berkenaan turut memberikan nasihat kepada masyarakat terutamanya generasi muda agar berhati-hati supaya tidak terjebak dalam situasi yang sama. ARTIKEL BERKAITAN: Keliru konsep ‘close friend’ IG Story... Pemuda ‘terciduk’ selama ini satu pejabat, rakan tak disukai tengok posting privasi ARTIKEL BERKAITAN: Penagih minta ustaz tempah bilik VIP di neraka, mati nak terus check in! Kini jadi siak masjid, insaf lepas ibu meninggal "Jadi untuk semua terutamanya adik-adik, kalau kita pergi lepak-lepak rumah kawan tu, hati-hatilah. Kenali siapa kawan kita. "Jauhilah kalau kita dah tahu kawan kita tu memang jenis hisap dadah... jadi kemungkinan dia akan memiliki dadah di rumah. "Kita kenalah elakkan kemungkinan kita akan terjebak sama sebab kita berada di satu tempat di mana bahan dadah ditemui," ujarnya. Zaman sekarang ni, siapa pun kawan kita janganlah lepak rumah dia walaupun sekejap. Kita tak tahu kalau kawan ada niat jahat. NETIZEN Sebagai maklumat tambahan, pertuduhan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya boleh membawa kepada hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. "Ingat hukuman untuk kes ini boleh digantung, boleh dipenjara untuk tempoh yang lama. Dan sementara menunggu perbicaraan pun tidak boleh dijamin. "Walaupun tak bersalah, kita terpaksa meringkuk untuk satu tempoh yang lama sementara menunggu perbicaraan," akhirinya. Perkongsian peguam berkenaan sehingga kini meraih lebih 356,000 jumlah tontonan. Sebahagian reaksi netizen terhadap perkongsian peguam berkenaan. Menjengah ruangan komen pula, ada antara warga maya yang turut berkongsi nasihat dan pengalaman masing-masing sebagai pengajaran bersama. "Zaman sekarang ni, siapa pun kawan kita janganlah lepak rumah dia walaupun sekejap. Kita tak tahu kalau kawan ada niat jahat. "Bukan setakat rumah, kereta pun sama. Ambil member, tiba-tiba kena ambush. "Harap anak-anak remaja sekarang bijak memilih kawan. Semoga anak-anak kita dijauhkan daripada musibah sebegitu," demikian antara komen netizen. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube