suria

Surat khabar lama penutup tingkap tandas homestay di KB timbul curiga... Wanita menggigil, menjerit nampak kamera telefon!

Seorang wanita mendakwa diintai individu tidak bertanggungjawab di sebuah rumah inap desa.

KEJADIAN pemasangan kamera tersembunyi di dalam tandas mahupun bilik hotel oleh individu tidak bertanggungjawab bukan lagi satu isu baharu.

Biarpun tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap pelaku, namun kejadian sedemikian masih berlaku secara berleluasa.

Terbaharu seorang wanita mendakwa menjadi mangsa apabila aktivitinya di tandas sebuah rumah inap desa di Kota Bharu, Kelantan dirakam menerusi kamera telefon bimbit.

Menerusi perkongsian di TikTok, wanita itu berkata percutiannya bersama keluarga ke Kelantan pada mulanya baik-baik sahaja walaupun terpaksa menempuh perjalanan selama 18 jam.

intai2

Wanita itu membuat perkongsian tentang pengalamannya di TikTok.

"Masa sampai tu okey saja, tiada apa-apa masalah. Pemandangan rumah menarik, seronok tengok rumah pun cantik.

"Masa sampai rumah tu dah lewat, sekitar pukul 11.13 malam. Duduk tak sampai setengah jam, abang-abang dan kakak ipar aku keluar ke Wakaf Che Yeh.

"Jadi tinggal la aku bertiga dengan mak dan ayah," katanya memulakan cerita.

Bagaimanapun kekalutan mula berlaku apabila dia mahu membersihkan diri selepas seharian berjalan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kantoi skodeng dan rakam jiran mandi, lelaki terima 'hukuman' daripada penduduk

ARTIKEL BERKAITAN: Asyik rakam wanita sedang mandi, pemuda akhirnya kantoi... Mengaku sudah dua kali mengendap!

"Aku pergi tandas sebab nak kencing, mandi... biasalah dah seharian keluar mesti nak segarkan badan.

"Masa masuk tandas tu aku terdetik nak tengok tingkap tandas. Tiba-tiba aku tengok ada benda pelik dekat tingkap tu," katanya yang turut berkongsi foto di dalam tanda berkenaan.

Ujar wanita itu dia ternampak kamera telefon bimbit terselit di sebalik lipatan surat khabar pada tingkap berkenaan.

Terdetik nak tengok tingkap tandas... tiba-tiba aku tengok ada benda pelik dekat situ.

PENGADU

"Nampak apa? Rupanya ada orang ambil gambar aku. Aku pun menjerit panggil mak, menggigil masa tu.

"Aku call abang supaya balik cepat. Kemudian abang aku pula call pemilik rumah itu beritahu ada orang intai aku dalam tandas memandangkan dia tinggal bersebelahan.

"Apabila abang berjumpa dengan pemilik, dia pun terkejut kerana katanya tak pernah berlaku kejadian seperti itu," tulisnya yang mengesyaki perbuatan keji berkenaan dilakukan individu berkenaan.

Tidak berpuas hati dengan penafian berkenaan, mereka kemudian memeriksa telefon bimbit pemilik kediaman namun tidak menemui sebarang bukti atau rakaman mencurigakan.

ssstik.io_1726732109046

Menurut wanita berkenaan perkongsian sekadar mahu memberi peringatan.

Namun dakwa wanita itu, dia yakin telefon berkenaan digunakan untuk merakam aktivitinya di tandas berdasarkan rekaan pada kamera belakang.

Walau bagaimanapun tiada sebarang pengakuan dibuat individu berkenaan dan difahamkan wanita itu juga tidak membuat sebarang laporan polis tentang insiden itu.

Tambah wanita itu, perkongsiannya bukan berniat untuk menutup periuk nasi pengusaha rumah inap desa berkenaan namun sekadar ingin mengingatkan orang ramai agar lebih berwaspada.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain