suria

Nasib baik pandai ‘control’ cantik... Graduan UiTM ini sangka pentas tak rata, rupanya tumit kasut patah depan naib canselor

Kenangan lucu ketika hari konvokesyen Yuhaines di mana tumit kiri kasutnya tercabut di atas pentas.

BERTAHUN-TAHUN menimba ilmu, semestinya majlis konvokesyen adalah detik yang paling bermakna buat para graduan.

Menyarung jubah keramat dan melangkah naik ke atas pentas untuk menerima skrol, momen berkenaan akan menjadi salah satu kenangan paling manis dalam hidup.

Bagi graduan Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Yuhaines Batrisyia Ariff, majlis konvokesyennya terpahat kenangan yang sama sekali tidak akan dilupakannya seumur hidup.

Mana tidaknya, tanpa diduga kasut tumit tinggi yang dipakainya patah ketika sedang menerima skrol daripada naib canselor di atas pentas.

Mengimbas kembali insiden lucu yang berlaku pada 17 September lalu, gadis yang mesra disapa sebagai Yuhaines berkata, dia sama sekali tidak menyangka insiden sedemikian terjadi pada salah satu hari pentingnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Sudahlah berkerusi roda terima ijazah, berlaku pula scene tak diingini di pentas... wanita geram tengok video, gambar konvo!

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Kasut pinjam’ buat hal masa konvo, graduan anggap macam pakai jenama Dior selepas kawan ‘bahan’ nampak berkilat dibalut sellotape

"Sebenarnya saya nak pakai kasut lain untuk majlis konvokesyen. Tapi apabila tengok baju yang dipakai rona krim kuning, rasa sepadan pula kasut tu dengan baju.

"Tapi saya bawa juga sepasang kasut lain sebagai kasut spare. Sebenarnya kasut tu tak ada masalah langsung sejak dipakai dari rumah. Dah berjalan sana sini.

"Entah kenapa tiba-tiba tumit sebelah kirinya patah pula atas pentas," ceritanya.

pic 2

Yuhaines bersama salah seorang rakan baiknya.

Menurut Yuhaines, dia pada mulanya beranggapan tumit kakinya terpelecok.

Namun beberapa langkah selepas mengambil skrol, dia menyedari bahawa tumit sebelah kirinya patah dan cuba mengawal situasi serta berjalan seperti biasa.

"Saya ingat pentas tu tak rata sebab rasa macam tak balance. Apabila berjalan semula, saya sedar rupanya tumit kasut patah.

"Saya buat macam biasa walaupun terjingkit sikit. Kemudian turun pentas, kembali ke tempat duduk dan tukar pakai kasut spare yang dibawa dalam beg kertas.

Saya ingat pentas tu tak rata sebab rasa macam tak balance... apabila berjalan semula baru sedar tumit kasut patah rupanya.

YUHAINES

"Lepas tu baru saya kongsikan peristiwa lucu tu dalam grup WhatsApp bersama rakan-rakan dan keluarga. Berdekah mereka ketawa," ujarnya yang menetap di Shah Alam.

Yuhaines mengakui insiden tumit kasut tinggi patah bukanlah kali pertama berlaku, sebaliknya ia adalah kali kedua berlaku depan khalayak.

"Waktu kali pertama tu di kenduri kahwin. Cuma kali ini ia berlaku pada hari penting saya. Memandangkan dah pernah alami, saya tak gelabah dan boleh cover.

pic 3

Gambar pra-konvokesyen Yuhaines (tiga, kiri) bersama rakan baiknya. -Foto Aufadanish_

"Kalau ikutkan tiada siapa yang sedar pun tumit terpatah malah kawan baik yang ambil skrol selepas saya pun tak perasan langsung. Malah urusetia di bawah pentas pun tak perasan.

"Jadi saya tak ada rasa malu sangat. Saya mula malu apabila video tu viral. Apabila tengok balik, memang tergelaklah.

"Apa pun, insiden itu jadi kenangan yang tak dapat dilupakan. Bagi bakal graduan, jika ada apa-apa perkara tak diduga berlaku, jangan gelabah, cuba kawal dan teruskan sahaja," akhirinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain