SATU pemandangan unik dapat dilihat di taman perumahan di Desa Rejang, Setapak, Kuala Lumpur. Di situ, deretan rumah teres amat rapat antara satu sama lain dan kedudukan setiap kediaman tidak tersusun rapi, menyebabkan laluan menjadi sempit dan berselirat. Keadaan ini pastinya menjadi mimpi ngeri buat rider penghantar makanan atau petugas kurier yang perlu mengharungi liku-liku sempit untuk tiba ke rumah pelanggan. Bercerita lanjut kepada mStar, posmen dan penghantar bungkusan, Farhan Fizani, 28, berkongsi cabaran yang perlu dihadapinya sepanjang tiga tahun bertugas mencari rezeki di kawasan Desa Rejang. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Menurutnya, mereka yang 'mentah' pasti akan hilang arah jika hendak mencari rumah spesifik yang terletak di Desa Rejang, memandangkan persekitarannya tak ubah seperti permainan pagar sesat. "Ada banyak rumah dalam Desa Rejang ni, selalu timbul masalah apabila beberapa kediaman mempunyai nombor sama. Kita harus peka nak ambil simpang yang mana supaya boleh sampai ke rumah yang tepat, itu memang menguji kesabaran. "Waktu saya mula bertugas di Desa Rejang, saya mengaku terhegeh-hegeh nak deliver barang, saya perlukan masa dalam sebulan untuk serap 'feel' jalan dekat sini. Selepas tu baru perlahan-lahan saya usaha hafal setiap penjuru laluan. "Alhamdulillah sekarang saya boleh dikatakan mahir untuk mengemudi lorong di dalam Desa Rejang. Saya pun ada menimba ilmu dengan rakan sekerja senior, dia 'cikgu' saya. ARTIKEL BERKAITAN: Satu keluarga ada ‘kabel besar’, seluruh kawasan perumahan hidup terseksa! Samseng sesuka hati... Block jalan, rumah jadi bengkel ARTIKEL BERKAITAN: Jiran ‘rancak’ besarkan rumah, lelaki terkejut juru ukur sahkan 70 peratus binaan berada atas tanahnya - “Dia buang kayu penanda” "Dia ajar saya untuk tengok tanda pada setiap laluan sebagai penunjuk arah, antara clue yang saya selalu guna adalah nombor peti surat," jelas Farhan yang berasal dari Felda Jengka, Pahang. Farhan turut menjelaskan faktor yang menyebabkan terbentuknya kawasan perumahan sempit di Desa Rejang, satu keadaan yang jarang ditemui melainkan di negara berkepadatan tinggi seperti Indonesia. "Orang dekat sini suka renovate (ubah suai) rumah ikut sedap, kalau ada duit lebih, mereka akan semangat tambah tembok atau besarkan dapur. Lama kelamaan ia mula 'makan' jalan. "Dah tiga tahun saya dekat Desa Rejang, kalau bandingkan waktu awal saya bekerja dulu dengan sekarang, saya boleh cakap laluan kini menjadi semakin sempit. Saya tak pasti pihak berkuasa tempatan (PBT) buat apa dalam hal ni. Orang biasanya kemalangan motosikal dekat highway, saya boleh accident dalam kawasan perumahan, tapi itu istimewanya Desa Rejang. FARHAN FIZANI "Sampai satu tahap, sesetengah lorong tu nak lalu guna motosikal pun sipi-sipi je lepas, sehinggakan kaki saya ni bergesel dengan dinding rumah di sebelah kiri dan kanan. "Lagi satu masalah, kalau ada laluan yang ditutup sebab rumah buat renovation, saya kena pusing jauh untuk sampai ke rumah pelanggan, memang renyah," kata Farhan yang juga mempunyai rakan menyewa kediaman di Desa Rejang. Dalam pada itu, Farhan menceritakan lumrah kehidupan penduduk di Desa Rejang berdasarkan pemerhatian dan perkongsian rakan-rakannya. "Sini menjadi kewajipan untuk setiap rumah mempunyai troli, sebab kalau beli-belah barang dapur dan sebagainya, kereta akan diparkir jauh dari kediaman iaitu di jalan besar. Liku-liku laluan Desa Rejang yang perlu ditempuhi Farhan. "Rumah sini tak ada porch (beranda) untuk letak kereta, kenderaan yang boleh lepas masuk lorong pun hanya motosikal dan basikal. Jadi itu kegunaan troli, untuk memudahkan kita angkut barang dari kereta ke rumah. "Satu lagi kalau menetap di Desa Rejang, kaki memang kena kuat kerana menjadi kelaziman untuk kita menapak jauh. Kesesakan lalu lintas pun biasa di sini memandangkan penduduk semua parkir kereta dekat bahu jalan. "Kalau beli barang besar seperti perabot, selalunya kena panggil jiran atau kawan-kawan untuk tolong angkat beramai-ramai, perah keringat habis. Penduduk sini kebiasaannya akan memiliki motosikal juga di samping kereta," jelas Farhan. Apabila diminta untuk mengimbas memori pahit dan manis ketika bertugas di Desa Rejang, Farhan berkata ada beberapa kejadian yang segar melekat di fikirannya. Laluan Desa Rejang tidak sesuai untuk golongan klaustrofobik, rasa takut dengan tempat sempit. "Kalau momen kurang menyenangkan, ada pernah sekali ni waktu tunggang motosikal saya tersangkut dekat pagar sebab laluan teramat sempit, saya alami kecederaan ringan iaitu terseliuh dan bengkak pada kaki. "Jadi kelakar apabila fikir balik, orang biasanya kemalangan motosikal dekat highway, saya boleh accident dalam kawasan perumahan, tapi itu istimewanya Desa Rejang. "Untuk momen menyentuh hati pula, saya boleh cakap semangat kejiranan yang utuh dalam Desa Rejang ni. Setiap kali musim perayaan, tak kisah bangsa apa, mereka mesti akan bagi wang tip yang lumayan dekat saya. "Sebagai petugas kurier, saya sangat menghargainya. Satu lagi, penduduk Desa Rejang juga suka berkongsi makanan dengan saya, mesti ada je juadah yang mereka nak bagi waktu saya hantar barang," kata Farhan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube