suria

“Jangan pergi, awak akan selamat” - Netizen nasihat ponteng minggu orientasi, gembar-gembur perangai abang ‘fasi’

Minggu orientasi dianjurkan khusus untuk pelajar baharu. -Gambar hiasan

MEMASUKI peringkat pengajian tinggi sama ada asasi atau diploma merupakan satu fasa kehidupan yang baharu.

Jauh berbeza daripada alam persekolahan yang diharungi selama 11 tahun sebelum ini.

Demikian itu, menjadi kelaziman untuk kebanyakan institut pengajian tinggi awam (IPTA) atau institut pengajian tinggi swasta (IPTS) menganjurkan minggu orientasi bagi membantu mahasiswa menyesuaikan diri.

Perasaan berdebar pastinya dirasai setiap pelajar baharu di universiti. -Gambar hiasan

Bagaimanapun, kebanyakan warga maya termasuk bekas graduan diperhatikan mempunyai tanggapan serong terhadap minggu orientasi, susulan masing-masing mendakwa melalui pengalaman yang buruk sepanjang program itu berjalan.

Malah melalui satu hantaran di laman X, seorang lelaki menitipkan pesanan kontroversi supaya bakal mahasiswa tidak menghadiri minggu orientasi.

"Awak daftar je masuk ke universiti lewat seminggu. Kalau macam ni, boleh langkau minggu orientasi, masuk kuliah terus. Tak perlu nak hadap segala kerenah waktu program tu.

"Awak akan selamat daripada trauma, pecayalah cakap saya," ujarnya tanpa memberi huraian lanjut.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya simpulkan mereka ni berdendam” - Kejam! Lelaki dedah fasilitator paksa jogging walau kaki baru dibedah ketika minggu orientasi

ARTIKEL BERKAITAN: Lain macam sesi orientasi UiTM, senior buat video muzik ala-ala ‘High School Musical’ sambut junior... Menari ‘kayu’ tetap sporting!

Menjengah ke ruangan ciapan balas, warga maya dilihat berbelah bahagi dalam mengutarakan pendapat mengenai topik itu.

Segelintir netizen diperhatikan menyokong perspektif lelaki tersebut dan turut berkongsi pengalaman hitam mereka ketika menyertai minggu orientasi.

"Setuju sangat, aku ada kawan yang tak pergi minggu orientasi sebab hal peribadi, aku nampak hidup mereka lebih tenang. Tak perlu layan perangai fasilitator yang entah apa, terpaling acah senior.

"Fasilitator ni suka buat kita rasa bersalah, kononnya mereka berkorban cuti semester sebab nak 'jaga' kita. Satu lagi paksa kita berjalan jauh keliling kampus, pening sekejap... aku ni masuk belajar atau masuk askar?

Jangan percaya setiap perkara di internet, pengalaman orang berbeza-beza mengikut universiti.

WARGA MAYA

"Kemudian kerah kita bangun awal pagi sebelum Subuh untuk roll call, anggap benda tu mendisiplinkan kita. Lagi satu buat spotcheck mengejut, kononnya nak cari bahan terlarang. Lepas tu 'psiko' kita supaya jaga tingkah laku.

"Sepanjang minggu orientasi tu, tiada langsung memori yang indah untuk aku, semuanya buruk je. Masa aku disia-siakan begitu sahaja," ujar warga maya.

Dalam pada itu, sebahagian pelayar mempunyai pandangan berbeza dan teguh pendirian bahawa minggu orientasi mempunyai manfaatnya.

"Waktu minggu orientasi ini la peluang awak nak buat kawan baharu, kalau awak terus masuk kelas je, awak berkemungkinan jadi kera sumbang, sebab masing-masing sudah ada geng sendiri.

Pelayar bertukar pandangan.

"Dalam minggu orientasi ni pun banyak informasi penting awak boleh belajar tentang kampus, contohnya kemudahan apa yang disediakan, laluan pergi ke fakulti, tempat makan di mana dan sebagainya.

"Banyak benda ni awak susah nak explore sendiri, itu kebaikan pergi minggu orientasi. Kalau tak, nanti awak juga yang tersisih. Jangan percaya setiap perkara di Internet, pengalaman orang berbeza-beza mengikut universiti.

"Aku tak kisah pun pergi minggu orientasi, makan minum ditampung, kita hanya ikut je. Pengalaman buruk tu mungkin ada, tapi akan jadi kelakar apabila kita kenang semula selepas habis belajar nanti," kata pelayar.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain