suria

Wanita meraung nak lari dari rumah, tinggalkan kekusutan! Tukar fikiran lepas mengadu nasib - “Ambil wuduk dan solat, lega sikit”

Tugasan sebagai suri rumah tanpa disedari dipenuhi onak dan duri. -Gambar hiasan

TIADA sesiapa yang bebas daripada ujian di dunia ini.

Namun segalanya akan menjadi lebih mudah sekiranya kita sentiasa reda dan percaya dengan ketentuan Allah.

Melalui satu perkongsian di laman TikTok, seorang wanita menceritakan pesanan orang tuanya yang masih meninggalkan kesan hingga ke hari ini, malah semakin difahami apabila dia mula bergelar seorang ibu.

Suri rumah perlu mempunyai ketahanan diri yang kuat untuk menempuh rintangan. -Gambar hiasan

Menurutnya, di saat ramai yang renggang daripada agama, dia menanam peringatan di dalam diri untuk sentiasa menjaga solat kerana ia merupakan kunci kepada ketenangan hidup.

"Mak saya dulu pernah cakap, jadi ibu ni tak mudah. Banyak kerja rumah yang perlu diuruskan setiap hari, nak kena fikir anak dan bermacam hal lagi. Penuh ujian jadi suri rumah ni, bukannya bersenang-lenang.

"Apabila anak kita bertambah, tanggungjawab kita juga ikut sama menimbun. Apabila suami tak cukup duit, kita kena tolong fikir cara untuk menambah pendapatan, terus-menerus bertambah penatnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita lega dapat jaga solat, pakcik bas ekspres tak lupa waktu Subuh... Paling indah siap kejut penumpang Muslim turun ramai-ramai

ARTIKEL BERKAITAN: Tak yakin anak solat 5 waktu, mak ayah ulang-alik ‘spot checks’ bilik air... Nak tengok lantai basah petanda ambil wuduk

"Kerja sekolah anak, persiapan anak untuk pergi sekolah, lauk makanan untuk keluarga dan kebersihan rumah, semua tu di bawah tanggungjawab seorang suri rumah.

"Semua ini jika hendak diaturkan oleh seorang wanita boleh buatkan kita jadi gila. Tapi ia tidak mustahil untuk diatasi sekiranya seseorang itu bersolat," ujarnya.

Tambah wanita tersebut, banyak hal akan menjadi luas dengan hikmah bersolat.

Walaupun bukan lega sepenuhnya, tapi rasa kurang beban di bahu ni selepas saya mengadu dengan Allah.

WARGA MAYA

"Apabila kita sembahyang, semua akan jadi semudah-mudahnya. Masa yang kita rasakan suntuk menjadi panjang. Otak yang serabut menjadi tenang. Saya nasihatkan kepada suri rumah di luar sana, sentiasalah menjaga solat.

"Kerana segala urusan atas dunia ini Allah yang pegang," katanya mengakhiri perkongsian.

Menjengah ke ruangan komen, warga maya yang juga merangkap suri rumah berkongsikan pengalaman berkaitan dengan topik dibincangkan.

Pelayar bertukar pandangan.

"Semalam saya baru meraung nak lari dari rumah, mahu tinggalkan segalanya di belakang sebab stres sangat. Akhirnya saya ambil wuduk dan pergi solat baru lega sikit.

"Walaupun bukan sepenuhnya, tapi rasa kurang beban daripada bahu ni selepas saya mengadu dengan Allah.

"Sama juga seperti saya, sejak kebelakangan ni banyak kejadian malang berlaku dalam hidup, selepas kembali kepada Allah, baru boleh optimis semula. Saya berdoa dan bersolat, itu saja penawarnya," demikian kata warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain

Pelakon Lan Zailan meninggal dunia