suria

Anak dicemuh bawa syiling beli roti dan sardin, juruwang merungut kena kira setiap sen... Ibu tahan sabar demi bekal sekolah

Seorang murid mengira duit syiling untuk membeli barang. -Gambar hiasan

PERASAAN teruja dua beranak untuk membeli barang dapur di sebuah kedai berubah sayu apabila mereka dimalukan juruwang di hadapan orang ramai.

Menerusi satu perkongsian di media sosial, si ibu berkata insiden menyentuh perasaan itu berlaku di sebuah kedai selepas dia menjemput anak keduanya yang selesai sesi persekolahan pada hari tersebut.

"Saya masih teringat kejadian tu... kasihan kat anak saya.

Kejadian berlaku selepas anaknya pulang dari sekolah. -Gambar hiasan

"Semalam saya bersama anak kedua pergi ke kedai untuk membeli telur, roti dan sardin tin buat bekal dan sarapan pagi anak-anak.

"Dah sampai kat kaunter bayar tu, saya tengok ramai dah beratur. Jadi, saya pun suruh anak je yang bayar, saya tunggu di luar kedai," katanya.

Menerusi satu hantaran di Facebook, wanita itu berkata ketika di luar kedai dia dapat mendengar perbualan antara anaknya bersama juruwang di kaunter bayaran.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak pandang duit syiling, mengamuk sebelum turun kereta... Kelakuan budak lelaki saat ibu hulur wang belanja buat ramai urut dada

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita tak jadi bayar secara kod QR, malu juruwang tahu guna telefon Android - “Aib kalau pekung saya terbuka”

"Tiba giliran anak, saya perasan budak cashier (juruwang) tu cakap kat anak saya... kalau dah tahu beli barang pakai syiling, kiralah awal-awal duit tu.

"Anak saya pun jawab... dah kira kak, setiap satu ikat ada RM1'," ujarnya tanpa mendedahkan jumlah yang perlu dibayar.

Juruwang menjalankan tugas di kaunter bayaran. -Gambar hiasan

Memandangkan ramai pelanggan sedang beratur untuk membuat bayaran di kaunter berkenaan, juruwang wanita itu terus bersikap dingin dan enggan melayan pelanggan cilik berkenaan.

"Budak juruwang tu cakap kat anak saya... adik, pergi kaunter sebelah, bayar sana... sini ramai pelanggan.

"Anak saya pun berbaris buat kali kedua, dan apabila tiba giliran anak saya lagi, budak (juruwang) di situ pun cakap... adui, ini yang malas nak kena kira.

"Juruwang tu berulang cakap... sudahlah ramai pelanggan, kena kira syiling pula," katanya yang mengimbas kembali perbualan pada hari tersebut.

Saya tengok pelanggan lain boleh je sabar kalau betul-betul nak kira syiling tu yang jumlahnya tak sampai pun RM20.

IBU

Kejadian itu benar-benar menjatuhkan air muka anaknya memandangkan insiden tersebut disaksikan ramai pelanggan di premis berkenaan.

"Semua pelanggan pandang kat budak cashier tu, ada juga yang pandang kasihan kat anak saya," katanya.

Wanita mahu membeli barang dapur untuk memasak di rumah. -Gambar hiasan

Menurut wanita itu, pada mulanya dia mahu masuk ke dalam kedai dan menegur juruwang kerana memperlekehkan anaknya.

Dia bagaimanapun membatalkan hasrat tersebut kerana enggan menimbulkan kekecohan hanya disebabkan perkara kecil membabitkan wang syiling.

"Saya nak masuk tegur budak (juruwang) tu, tapi saya malas nak perbesarkan hal kecil. Salah ke beli guna syiling?

"Saya tengok pelanggan lain pun boleh je sabar kalau betul-betul nak kira syiling tu yang jumlahnya tak sampai pun RM20.

"Tapi dia macam terpaksa. Juruwang tu tak boleh fikir ke, kalau orang tu ada duit, (mereka) tak beli barang guna syiling. Tapi sebaliknya orang yang dalam kesusahan akan pakai selagi namanya duit walaupun syiling," luahnya lagi dalam hantaran itu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain