suria

Makcik selekeh terkocoh-kocoh naik LRT, minta tunjuk arah! Wanita geram, punyalah ramai penumpang tiada siapa sudi bantu

Berbuatlah baik kepada setiap individu tanpa melihat imej dan penampilannya. -Gambar hiasan

SEMUA manusia berhak dihormati tanpa ada diskriminasi warna kulit, paras rupa mahupun perwatakannya.

Melalui satu perkongsian di laman TikTok, seorang wanita menzahirkan rasa terkilan apabila melihat nasib seorang penumpang Transit Aliran Ringan (LRT) di ibu kota yang tidak dipedulikan orang awam.

Menurut wanita berkenaan, penumpang tersebut yang membawa banyak barang nampak tidak terurus pakaian dan rambutnya, seperti orang kurang siuman, justeru tiada siapa di atas gerabak sudi menjawab pertanyaannya.

Sikap toleransi diperlukan ketika menggunakan pengangkutan awam. -Gambar hiasan

"Sedih generasi hari ini. Semalam saya naik LRT, ada seorang makcik dengan penampilan agak selekeh masuk gerabak, rambut dan bajunya kelihatan comot, tangan pula jinjing barang. Ya, makcik tu nampak macam orang kurang siuman.

"Dia tanya seorang demi seorang dalam gerabak tu, betul ke aliran LRT yang dia naik ni untuk ke Ampang, tapi tiada seorang pun layan dia. Orang pertama yang makcik tu tanya, dia jawab dirinya pelancong, jadi dia tak tahu.

"Seterusnya makcik tu pergi ke tengah gerabak dan tanya orang lain pula, juga tiada siapa yang jawab. Saya tengok dari jauh, saya tahu makcik ni salah naik LRT, geram betul saya perhatikan semua orang sisihkan dia.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita teruja bekas penagih pernah dipulihkan sedekad lalu masih ingat namanya, nampak macam gila tapi baik budi pekerti

ARTIKEL BERKAITAN: Ayam masak merah, karipap berterabur atas jalan... Gerai nasi lemak diserang orang gila! - “Sayu muka makcik ni, meleleh air mata dia”

"Makcik tu terus melilau cari orang yang sudi bantu. Apabila dah hampir dengan saya, saya terus tolong," cerita wanita tersebut.

Menurut wanita itu, sebaik dihampiri makcik berkenaan, dia terus memberitahunya bahawa dia perlu menukar aliran LRT.

Ketika itu juga dia sedar ada beberapa penumpang lain yang memandangnya dengan wajah serba salah atas reaksi yang ditunjukkan mereka sebelum itu.

"Saya cakap dekat makcik tu, aunty kena pergi line LRT yang seberang sana, kejap lagi sampai stesen seterusnya, aunty turun dan naik LRT yang dekat situ.

"Lepas tu makcik tu pun jawab dengan nada sedih, oh ya ke. Kesian saya tengok.

Kesian pada orang yang memerlukan, marilah kita bersama jadi masyarakat yang prihatin.

WARGA MAYA

"Selepas makcik tu turun, saya tengok balik muka setiap seorang yang buat tak tahu dengan makcik tu tadi. Masing-masing senyap membisu je, mungkin baru terdetik rasa serba salah. Saya ni ringan je nak bagi penyepak dekat mereka semua.

"Kalau betul la sekali pun dia orang gila, apa yang kalian takutkan sangat? Dia manusia juga, bukan niat dia untuk sengaja mengacau. Apa nak jadi dengan kalian semua ni, saya hampa," ujar wanita berkenaan menutup bicara.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya juga berkongsi pernah menghadapi situasi yang hampir serupa.

Pelayar bertukar pandangan.

"Saya faham orang dalam pengangkutan awam ni selalunya badan je dekat situ, tapi minda dah menerawang ke tempat lain, fikir pasal kerja dan sebagainya. Walaupun begitu, tetaplah kena cakna dengan keadaan sekeliling.

"Ini tidak, kadang-kadang tu ada warga emas atau wanita mengandung masuk tren, semua buat tak tahu je, duduk termenung dan ada yang pura-pura tidur. Kesian pada orang yang memerlukan, marilah kita bersama menjadi masyarakat yang prihatin.

"Macam saya sendiri, kalau ada pelancong atau orang luar yang tak biasa dengan sistem LRT, saya memang berbesar hati nak bantu. Saya siap buka Google lagi nak tolong ajar," kata beberapa warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain