SEORANG penghantar makanan yang tular kerana sering menziarahi dan berbaring di sebelah pusara ibunya mengundang sebak warga maya. Dalam diam tindakannya itu disedari oleh seorang wanita dan anak-anak yang juga kerap datang ke tanah perkuburan sama untuk menziarahi pusara suaminya. Bagaimanapun, timbul tanda tanya apabila rider tersebut sudah lama tidak kelihatan, justeru wanita berkenaan membuat perkongsian di media sosial mengenai rider berkenaan sambil berkongsi foto menunjukkan lelaki itu sedang berbaring di pusara ibunya. mStar berjaya menjejaki penghantar makanan yang tular itu, Abdul Azim Hasmandi yang mengakui sering meluangkan masa dengan menziarahi pusara ibunya di Tanah Perkuburan Sungai Tangkas di Bandar Baru Bangi, Selangor. Kenangan... Azim (kiri) bersama arwah umi. Azim memberitahu, ibunya, Allahyarham Norlia Mahmood, 62, yang dipanggil umi meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 7 Jun lalu. Sejak pemergian insan tersayang, anak muda berusia 28 tahun itu sering menziarahi kubur ibunya setiap hari yang terletak berdekatan dengan rumahnya di Bandar Baru Bangi. "Saya datang ke kubur sebelum dan selepas hantar order, kebetulan melalui kawasan tanah kubur dan hari cuti. "Saya akan bentangkan tikar yang ada di pondok di situ (tanah perkuburan) atau saya duduk saja di atas batu. "Ada hari yang saya datang antara lima hingga enam kali. Saya ada waktu terluang, jadi saya datang untuk doakan umi dan baca Yasin," katanya ketika dihubungi. Rutin harian Azim menziarah pusara umi. Selain memberi ketenangan dan mengubat kerinduan, Azim meluahkan kehadirannya untuk menziarah ibunya bagaikan rutin harian bersama arwah semasa hayatnya. "Saya tinggal bersama umi. Rutin harian saya sebagai rider sama juga, bila tiada order saya akan balik jumpa umi. ARTIKEL BERKAITAN: Kadang-kadang bersila, ada hari baring... Rider bentang tikar, setiap hari ziarah pusara ibu undang sebak "Umi menjual nasi lemak, jadi kebiasaannya saya ke gerainya di tepi jalan di Bangi pada waktu pagi. Kalau umi di rumah, saya balik jumpa dia. "Sebelum tidur, saya akan bergurau senda dengan umi di ruang tamu. Kadang-kadang baring sebelah umi, atau di kaki atau pangkuan dia," ujarnya sambil menambah ibu bapanya turut berniaga di pasar malam di kawasan sekitar. Menurut anak kedua daripada empat beradik itu, arwah ibunya merupakan seorang yang penyayang dan mudah mesra dengan sesiapa pun. Arwah umi (kiri) dan abi (bapa) berniaga di gerai dan pasar malam. Malah kata Azim, ibunya juga rajin berkongsi rezeki sehingga membuatkan arwah disenangi ramai. "Umi seorang yang suka memberi, sering bersedekah tanpa mengira sesiapa pun. Selepas umi meninggal dunia, saya dapat tahu dia juga sering bagi kuih-muih pada peniaga-peniaga yang dia beli untuk barang niaga. "Saya diberitahu pada hari kejadian, umi sedekahkan makanan lebih banyak daripada biasa tanpa banyak bercakap. Umi kalau bersedekah dia buat diam-diam, kami tak tahu sehingga orang bercerita selepas umi meninggal," katanya yang mengimbas kembali ibunya terlibat dalam kemalangan selepas membeli barang-barang untuk berniaga. Setiap kali datang pusara terubat rindu pada umi. ABDUL AZIM HASMANDI Mengenai hantaran tular yang menceritakan tentang dirinya tertidur di atas tikar di tepi pusara ibu, Azim tampil menjelaskan dirinya kepenatan selepas baring. "Selepas umi tiada, waktu rehat saya akan singgah ke kubur untuk ziarah umi. Beberapa kali juga penjaga kubur atau orang awam datang kejut sebab dah nak Maghrib. "Saya berharap tiada yang mempertikaikan apa yang saya buat. Mungkin ada juga berhadapan dengan mak ayah meninggal, tak sama rasa sedih kehilangan tu, tapi keadaannya tetap sama iaitu kehilangan orang yang tersayang. "Seperti saya, kehilangan umi sekelip mata. Masa hari kejadian saya di rumah tunggu umi pulang sebelum dapat tahu umi kemalangan. Kepada mereka yang masih ada mak ayah, jagalah mereka sebaik mungkin," katanya. Menurut Azim, ibunya seorang penyayang dan pemurah. Terdahulu, hantaran seorang wanita tular mengenai Azim yang sering menyantuni pusara ibunya setiap hari sehingga mengundang sebak dalam kalangan warga maya. Ditanya mengenai tanda tanya seorang wanita yang sudah lama tidak melihatnya di kubur, Azim menjelaskan ia kemungkinan disebabkan kedua-dua mereka datang menziarah pada waktu yang berbeza. "Saya masih datang ziarah pusara umi. Cuma mungkin waktu saya dan makcik tu datang pada waktu yang berbeza menyebabkan kami tidak berjumpa di kubur. "Setiap kali datang pusara terubat rindu pada umi. Dan saya sentiasa ingat pesanan umi supaya hati-hati bawa motosikal dan kalau ada kesusahan atau bila-bila masa, rajinkan baca surah Ash-Sharh dan tiga Qul," katanya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube