MAJLIS konvokesyen adalah hari ditunggu-tunggu oleh mereka yang bergelar mahasiswa yang mana kejayaan akan disambut bersama ibu bapa dan ahli keluarga tersayang. Namun manusia hanya mampu merancang, tidak semua ibu bapa berpeluang hadir dan meraikan hari graduasi anak mereka. Perkongsian seorang wanita, JannaYaya0 yang kehilangan bapa tanpa sempat melihat sendiri adiknya meraih kejayaan dalam bidang akademik mengundang rasa sedih dalam kalangan warga maya. Menerusi video itu, dapat dilihat adik bongsunya memakai jubah konvokesyen di sebuah tanah perkuburan yang tidak dinyatakan lokasi. Perkongsian video individu ini mengundang kesedihan ramai. Video itu tular dan mencuri perhatian warganet dengan rata-rata berasa sayu melihat rakaman tersebut. Selain itu, selempang merah jambu yang dipakai adiknya juga menjadi perhatian ramai, menandakan gadis itu cemerlang sepanjang pengajian dengan mendapat anugerah dekan bagi setiap semester. Bagi mendapat anugerah tersebut, pelajar perlu mendapat Purata Nilai Gred (GPA) 3.5 ke atas setiap semester dan tidak ramai mahasiswa mampu meraih keputusan ini. Berdasarkan beg kertas yang dibawa dan jubah yang dipakainya, dipercayai gadis ini adalah graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM). Untuk rekod, bapa graduan bernama Nurrul Syafina Md Yahaya itu menghembuskan nafas terakhir pada 26 September 2022. Sementara di ruangan kapsyen, kakak kepada Nurrul Syafina sempat bercerita tentang arwah bapanya yang begitu mengambil berat tentang soal pendidikan anak-anaknya. ARTIKEL BERKAITAN: 3 beranak naik Axia maut dirempuh Hilux selepas pulang dari majlis konvo, penjual sayur direman ARTIKEL BERKAITAN: Demi nak suruh anak sambung belajar, ibu daftar sekali! Dua beranak ini akhirnya dapat ijazah - “Ikutkan saya malas, selesa cari duit” “Abah, anak bongsu abah dah konvo. Dua minggu sebelum abah meninggal abah tanya adik, dapat banyak ‘A’ ke? “Dia (abah) tak tahu tentang pointer. Dia tahu banyak A dan sebab itu juga abah beria-ia nak belanja keluarga makan masa tu,” tulisnya mengimbas kisah dua tahun lalu. Dalam pada itu dia juga berharap warganet dapat mendoakan adiknya terus kuat untuk melangkah ke hadapan dan semoga bapanya, Allahyarham Md Yahya Kasah ditempatkan di syurga tertinggi. Disebabkan rasa bangga dengan pencapaian, saya ziarah pusara bapa selepas majlis konvokesyen untuk berkongsi kejayaan ini. NURRUL SYAFINA MD YAHAYA GRADUAN UiTM Wanita ini juga menerusi ruangan komen mengucapkan terima kasih kepada mereka yang mendoakan arwah bapanya. “Terima kasih untuk kiriman doa buat abah. Saya menangis dari tadi. Rindu, yang tak tahu nak beritahu bagaimana. “Mudah-mudahan dengan video adik saya ni boleh buat kita semua hargai mak ayah,” ujarnya. Semua pelajar IPT berharap dapat meraikan majlis konvokesyen bersama keluarga. -Gambar hiasan Sementara itu, Nurrul Syafina memberitahu kunjungannya ke pusara arwah bapanya dengan lengkap berjubah konvokesyen adalah bagi mengubat rasa rindu terhadap insan berkenaan. "Disebabkan rasa bangga dengan pencapaian, saya ziarah pusara bapa selepas majlis konvokesyen untuk berkongsi kejayaan ini. "Perkongsian ini juga sebagai tanda kasih dan penghargaan disamping mengurangkan perasaan rindu yang mendalam terhadap bapa," katanya menerusi kiriman emel kepada mStar. Hari graduasi merupakan detik kemuncak kejayaan buat graduan universiti. -Gambar hiasan Dalam pada itu warga maya rata-ratanya memuji Nurrul Syafina atas kejayaannya menamatkan pengajian dengan cemerlang. “Selempang pink, tahniah dik. InsyaAllah mesti ayah bangga dengan kamu. “Tahniah saudari, selempang merah jambu tu membuatkan ayah kami bangga, al-Fatihah. “Tahniah untuk selempang pink, kuat selalu ye adik. “Bangga ayah, awak dapat selempang pink lagi. Kita sama, konvokesyen tanpa ayah di sisi, al- Fatihah. “Yang tak pernah lalui akan cakap aneh perbuatan ni, tapi yang merasai kehilangan itu sahaja tahu apa dirasai,” demikian antara komen warganet. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube