suria

Pernah viral bawa ibu merasa percutian mewah, pemuda ini rindu senyuman manis arwah... Syukur dapat peluang jaga hingga akhir hayat

Amir Moktar reda dengan pemergian ibu tercinta.

"SEMENTARA mak kita ada, bagi mereka rasa."

Demikian kata-kata pemuda yang pernah tular kerana membahagiakan ibunya dengan layanan VVIP serta bercuti bersama di tiga hotel lima bintang, tiga tahun lalu.

Namun suratan takdir menentukan ibu tercinta menghembuskan nafas terakhir pada Ahad, 24 November lalu, menjadi satu pemergian yang amat sukar buat pemuda itu.

Gembira membahagiakan ibu tercinta.

Menurut Mohd Amiruddin Ahmad Moktar, ibunya Allahyarham Latipah Ibrahim meninggal dunia pada usia 69 tahun akibat penyakit aspiration pneumonia.

"Tiada ralat dan tiada sekelumit kekesalan, cuma yang tinggal kini hanya perasaan rindu yang amat dalam dan pedih. Apa saja yang mak nak makan saya tunaikan, apa saja permintaan mak saya penuhi. Saya rasa berpuas hati dan telah lakukan sehabis baik.

"Pada waktu sihat, saya bawa mak melancong sampai ke luar negara, tidur hotel sana-sini, pergi umrah tiga kali. Saya tolak mak atas kerusi roda masa tawaf dan saie, tak tergambar dengan kata-kata kepuasan ini.

"Apabila mak sakit dan perlu dimasukkan ke hospital, saya berikan yang terbaik dengan membawa mak ke hospital swasta. Alhamdulillah berkat jaga orang tua, saya tak pernah berlapar malah dikurniakan rezeki berlipat kali ganda," katanya ketika dihubungi mStar.

Bersyukur diberi peluang menjaga ibu.

Berkongsi cerita, Amir Moktar berkata, sebelum ini ibunya sering mengajaknya untuk keluar berjalan-jalan namun sikap wanita itu berubah beberapa minggu sebelum pemergiannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak sanggup bayar kereta mewah, menginap tiga buah hotel 5 bintang sepanjang bercuti di Langkawi... percutian sweet dengan ibu tercapai!

ARTIKEL BERKAITAN: Rider baring di pusara dedah kisah tragis, ibu kemalangan lepas beli barang niaga nasi lemak - “Ada hari saya datang lima, enam kali”

"Apabila saya ajak mak keluar, mak hanya menggelengkan kepala. Tidak seperti selalu, mak yang akan ajak keluar dan sekalipun tak pernah saya hampakan sebab mungkin mak bosan di rumah.

"Waktu tu saya akan tinggalkan kerja dan apa saja meeting penting. Bagi saya, saya takut dengan masa. Sementara mak mahu, saya cuba penuhi sebab takut nanti tidak tahu apa kemungkinan berlaku. Rupanya ini perjalanan terakhir mak," katanya yang berasal dari Pendang, Kedah.

Tiga kali membawa ibu menunaikan umrah.

Menurut anak bongsu daripada empat beradik itu, ibunya disifatkan sebagai seorang yang sangat baik dan tidak pernah bercerita tentang keburukan orang lain.

"Mak adalah pendengar yang baik. Tutur kata mak lemah lembut, mak didik kami adik-beradik dengan penuh kasih sayang.

Rindu kepada arwah mak takkan padam.

MOHD AMIRUDDIN AHMAD MOKTAR

"Sudah lama mak menanggung sakit, lebih 20 tahun mak menghidap anemia. Kemudian tahun lalu mak disahkan menghidap ketumbuhan otak.

"Saya bawa mak tinggal dengan saya di Kuala Lumpur sejak lebih lima tahun lalu. Saya tidak menganggap ini sebagai tanggungjawab, sebaliknya buat atas dasar kasih sayang terhadap mak," katanya yang menetap di Kota Damansara di Petaling Jaya, Selangor.

Kenangan terindah ketika membawa ibu pergi bercuti.

Untuk rekod, kisah percutian mewah Amir Moktar bersama ibunya di Pulau Langkawi pernah mendapat perhatian ramai dan disiarkan di mStar tiga tahun lalu.

Dalam pada itu, kata Amir Moktar yang juga seorang usahawan, dia bersyukur kerana diberikan peluang berniaga secara dalam talian, sekali gus mempunyai masa yang fleksibel untuk menjaga dan memastikan kebajikan ibunya dipenuhi.

Lebih-lebih lagi selepas bapanya meninggal dunia pada 2011, tahun sama dia pulang ke Malaysia sejurus selesai menamatkan pengajian di Jepun, membuatkan dirinya mahu melakukan yang terbaik buat ibunya.

"Saya ada tiga lagi adik-beradik lain dan minta kebenaran mereka untuk saya bawa mak tinggal bersama saya. Adik-beradik sangat mengambil berat kebajikan mak dan saya sendiri langsung tidak rasa terbeban menjaga mak.

"Kini saya sudah kehilangan kedua-duanya. Terpisah jasad di dunia, selesai tugas saya di dunia. Apa yang saya boleh buat sekarang adalah bekalkan segala kebaikan dan doa untuk dikirimkan kepada mereka di sana, itu yang dinantikan arwah-arwah di sana.

"Walaupun mak terlantar pada dua tahun terakhir ni, mak tak pernah lupa mengingatkan saya untuk jaga makan sebab saya ada gastrik yang teruk," katanya sambil menambah arwah ibu turut berpesan supaya tidak melakukan kerja pada saat akhir dan sentiasa solat awal waktu.

Amir Moktar mengakui merindui arwah ibu.

Bagi Amir Moktar, melihatkan wajah arwah ibu yang senyum setiap kali mendekati katil ibunya di rumah, itulah kepuasan dan kebahagiaan sebenarnya sebagai anak.

"Saya rindu nak suapkan mak makan, pakaikan lampin, bagi mak makan ubat, mandikan mak dan uruskan buang air besar, rindu semuanya.

"Rindu senyuman manis dan gelak tawa mak, semuanya segar dalam ingatan. Apabila rindu itu datang, ia bagaikan satu rasa yang meruntun jiwa, saya pasti yang pernah mengalaminya faham.

"Rindu kepada arwah mak takkan padam. Saya berdoa ia akan terus mekar cuma diberi kekuatan untuk meneruskan hari-hari mendatang," katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain