CINTA putus di tengah jalan adalah lumrah dalam kehidupan manusia. Biasanya apabila terlalu menyayangi tetapi tiada jodoh, kita sentiasa mendoakan kebahagian bekas kekasih bersama teman baharu mereka. Namun, bagaimanakah situasi jika bekas kekasih itu mengahwini insan terdekat dengan kita atau adik-beradik kita sendiri? Itulah dilema yang dialami oleh seorang wanita yang mendirikan rumah tangga dengan bekas kekasih kakaknya sendiri. "Aku kahwin dengan ex (bekas) kekasih kakak sebab mereka cakap cinta monyet masa sekolah rendah dan hanya main-main tanpa ada perasaan. "Suami dan kakak sebaya, 34 tahun dan aku 30. Kami kahwin sebab keluarga atur memandangkan kedua-dua kami dah lanjut umur. "Aku tak terdesak nak kahwin tapi sebab mak. Aku kahwin awal tahun lepas dan lepas empat bulan terus mengandung. Suami layan aku baik sangat, sampai lahirkan anak pun sama," katanya memulakannya cerita. Pelbagai kemudahan dan kelengkapan bayi disediakan suami kepada kakak. -Gambar hiasan Namun, katanya keindahan itu bagaikan direntap apabila rumah kakaknya dilanda banjir dan terpaksa tinggal dengannya. Pada masa yang sama kakaknya tengah berpantang disebabkan baru melahirkan anak. "Suami tak bincang dengan aku terus bagi bilik bawah dekat kakak, dia sanggup keluarkan barang dalam bilik tu ke bilik kecil, sedangkan masa aku dalam pantang dalam bilik kecil tu. "Dia bagi alasan mungkin abang ipar atau anak-anak kakak nak tidur sekali. OK aku faham tapi lama kelamaaan dia dah tak bincang terus dia bagi macam-macam kat kakak aku," luahnya di media sosial. Wanita itu berkata antara barangan bayi yang diberikan seperti white noise machine, Nuna leaf (produk bayi), bantal menyusu, katil bayi, kain batik dan pelbagai lagi. ARTIKEL BERKAITAN: Hati kental datang kenduri kahwin bekas awek, sekali suaminya buat isyarat jari - “Saya OK je...” ARTIKEL BERKAITAN: Cinta monyet dianggap tak ke mana, cikgu pun tak yakin... adik angkat akhirnya dibawa naik pelamin - “Saya ajak dia couple semula” "Puncak marah aku bila dia bagi baju yang kawan aku hadiahkan dekat anak kami. Baju tu untuk bayi dua tahun, anak kami pun belum boleh pakai. Nasib aku perasan, terus aku keluarkan semua baju dalam almari anak dan baling suruh dia bagi semua. "Aku jerit sebab sakit hati. Dia pujuk dan minta maaf, kemudian dia turun ambil air. Lama dia turun kemudian dia beritahu kakak nak balik sebab banjir dah surut," katanya. Tetapi yang membuatkan wanita itu bertambah sakit hati apabila suami meminta dia memohon maaf kepada kakak kerana menyebabkan emosinya terganggu. Kalau tiga minggu dia boleh tolak aku tepi, macam mana kalau jadi lagi? ISTERI "Aku baling cawan dekat dia sampai dahi bengkak. Aku turun serang kakak, cakap dia tak malu, tak reti menolak, tak reti jaga batas, semua benda nak mengadu. Aku call suruh abang ipar datang ambil kakak dan keluar rumah aku sekarang juga. "Aku tahu aku emosi tapi aku dah nampak red flag ja sampai serba serbi nak mengadu dekat suami aku. Abang ipar aku datang, terus aku minta maaf dan aku kata kakak tak salah sepenuhnya sebab suami aku yang melebih tapi abang ipar cakap kakak juga salah sebab selalu mengadu dan dia pun tak selesa suami aku bagi itu ini," katanya. Jelas wanita itu lagi, kakaknya turut memohon maaf atas apa yang berlaku dan berasa lebih lapang serta selesa apabila dia tidak tinggal lagi di rumah mereka. "Cuma aku jadi rasa tak selamat. Aku beli set 'airtag' (pengesan) pasang dekat kereta, motor, beg duit dan kunci rumah. WhatsApp dia aku guna WhatsApp web dan guna akaun Facebook, Instagram dia dekat telefon aku. Dia tak kisah sebab dia rasa bersalah. "Kakak aku tanya sebab dia ke kami bergaduh, suami aku kata ya kerana aku salah faham dan sebab itu suami aku minta maaf. Aku cakap aku tak percaya kakak dan kakak tanya apa perlu dia buat, sejujurnya aku tak tahu," luahnya. Bagi wanita itu, suaminya adalah suami dan bapa yang baik tetapi tempoh tiga minggu kakaknya berada di rumah mereka menyebabkan dia berfikir bukan-bukan. "Kalau tiga minggu dia boleh tolak aku tepi, macam mana kalau jadi lagi? Dia ada ajak pergi jumpa kaunselor perkahwinan dan besar kemungkinan aku akan pergi. Cuma aku takut tahu banyak benda yang tak nak aku tahu. "Macam mana kalau dia tak suka aku sebenarnya? Atau dia anggap aku dan anak adalah amanah atau dia terima aku sebab aku emak anak dia?" katanya mengakhiri perkongsian berkenaan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube