GUGUR air mata seorang wanita ketika membuka hadiah perkahwinan yang diberikan oleh ibunya tiga tahun lalu. Menurut Siti Zuraini Mohamad Rosli, 33, dia sebelum ini tidak berkesempatan untuk membuka semua hadiah diterima sewaktu majis perkahwinan yang berlangsung pada 18 Februari 2021. Kata Zuraini, kerana sibuk bekerja, hadiah jam dinding itu tidak sempat dibuka walaupun berkali-kali ditanya ibunya sebelum meninggal dunia. "Saya berkahwin masa zaman PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Buat majlis tertutup bersama dua pihak keluarga saja jadi dapat hadiah pun tak banyak mana. Ibu Zuraini sempat menghadiri majlis pertunangan dan perkahwinannya. "Saya pula jenis workaholic jadi asyik tertangguh je nak buka semua hadiah. Setiap kali ibu tanya mesti waktu saya sibuk kerja. Saya pun jawab la nanti Along (ganti nama) buka ya. "Tapi saya sedar tu bukan la alasan yang baik. Ibu siap beritahu lagi hadiah tu jam walaupun sudah cantik dan rapi dia balut. Fed up gamaknya suruh saya buka," ujarnya kepada mStar. Tambah Zuraini, lama-kelamaan ibunya berhenti bertanya tentang hadiah itu dan akhirnya perkara tersebut dilupakan begitu sahaja. Namun, takdir menentukan ibunya jatuh sakit pada Disember 2023 akibat komplikasi kencing manis dan meninggal dunia pada 19 Januari 2024. ARTIKEL BERKAITAN: Pernah viral bawa ibu merasa percutian mewah, pemuda ini rindu senyuman manis arwah... Syukur dapat peluang jaga hingga akhir hayat ARTIKEL BERKAITAN: Terlalu rindu, anak nombor 2 ajak bapa ziarah pusara ibu... Rupanya arwah datang dalam mimpi, senyum apabila dipanggil Kisah pilu ibu kepada dua cahaya mata itu semakin meruntun jiwa apabila Zuraini kehilangan pekerjaan pada November 2024. Dalam tempoh mencari kerja baharu, Zuraini akhirnya berkesempatan mengemas stor dan terjumpa hadiah perkahwinan yang selama ini diabaikan. "Sampai la satu hari tu ibu pun sudah berhenti tanya dan saya pun lupa fasal hadiah tu. Tak lama lepas tu ibu jatuh sakit dan meninggal dunia sebulan kemudiannya. Saya rasa terkilan bila teringat suara dan raut wajah ibu. Semuanya dah terlambat sangat-sangat. SITI ZURAINI "Nak dijadikan cerita macam mana saya jumpa hadiah ni... saya diuji kehilangan kerja bulan lepas (24 November). Jadi sambil cari kerja baharu, saya banyak luangkan masa di rumah. "Saya pun fikir nak kemas apa yang patut dekat bilik stor. Dari situ la saya terjumpa hadiah-hadiah kahwin. Masa tu la teringat detik ibu suruh buka hadiah," imbasnya. Dalam rakaman dimuat naik di TikTok, Zuraini menunjukkan video diambil pada Isnin (16 Disember) ketika dia membuka hadiah jam tersebut dalam keadaan bersedih. Jam dinding pemberian ibu itu kini disimpan rapi dan akan digantung di rumah baharu yang dijangka siap pada 2027 sebagai tanda ingatan abadi buat ibunya. Zuraini kini memiliki dua cahaya mata. "Saya rasa terkilan bila teringat suara dan raut wajah ibu. Semuanya dah terlambat sangat-sangat. Buat masa sekarang jam ni saya nak simpan elok-elok dulu. "Insya-Allah nanti rumah baharu siap, saya akan gantung dekat sana sebagai tanda ingatan pada arwah ibu. Nak gantung sekarang, rumah sewa ni ruangnya agak terhad. "Apa yang saya boleh pesan, hargai la setiap pemberian orang tersayang sebelum terlambat. Hal dunia (kerja) semua boleh tunggu, tapi kehilangan ibu tiada gantinya," ujarnya sayu. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube