KEHAMILAN adalah saat yang dinanti-nantikan bagi pasangan suami isteri mengira detik untuk menimang cahaya mata. Kebiasaannya apabila usia kandungan mencecah 37 minggu, untuk kelahiran yang cukup bulan. Siapa sangka seorang wanita melalui detik bersalin yang mendebarkan meskipun melalui pengalaman melahirkan anak sebanyak tiga kali sebelum ini. Jururawat tiba di rumah Aininulniza untuk membawanya ke hospital. Bahkan, wanita berusia 37 tahun itu tidak pernah menjangka dirinya bersalin di rumah di Kangar, Perlis pada 31 Disember lalu, yang diuruskan sendiri oleh suami, Mohd Faiz Marzuki, 39, bersama ibunya. Menceritakan detik mencemaskan itu kepada mStar, Aininulniza Mohd Yusof memaklumkan dia pada awalnya dijangka bersalin pada 29 Disember lalu, namun disebabkan tiada tanda-tanda yang ditunjukkan maka tarikh akhir ditetapkan pada 4 Januari. "Kisahnya 7 pagi dah mula kontraksi pertama. Sementara tu, siapkan anak-anak ke sekolah sebelum nak ke hospital. "Kira-kira pukul 7.45 pagi, dah pecah air ketuban. Lima minit selepas tu terus lahir anak keempat atas katil di ruang tamu yang suami sediakan untuk berpantang," katanya ketika dihubungi. ARTIKEL BERKAITAN: Wanita bersalin dalam kereta akibat jalan sesak, mujur ada abang bomba ARTIKEL BERKAITAN: Isteri bergelut nak bersalin, suami abai amaran pak guard tetap park di zon larangan... Selesai urusan terkejut tengok keadaan kereta Malah, Aininulniza berkata, dia tidak menjangka anaknya yang baru dilahirkan secepat itu, memandangkan tiga lagi anak perempuannya mengambil masa yang lama untuk dilahirkan selepas kontraksi. "Sakit kontraksi keempat ni tidak sampai sejam. Sempat rasa sakit tu tiga, empat kali sahaja dan tidak ketara. "Anak-anak sebelum ini misalnya yang sulung hampir 10 jam, anak kedua empat jam dan anak ketiga pula tiga jam," katanya. Bimbang sebenarnya tanpa peralatan yang lengkap boleh menjejaskan ibu dan anak sekiranya berlaku komplikasi. Aininulniza Kakitangan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) itu mengakui perasaannya ketika itu terlalu bimbang mengenai keadaan anak-anak. "Suami pernah teman bersalin sebelum ni pada 2017 ketika kelahiran anak kedua tapi masa jururawat suruh tengok proses bersalin tu dia mengelak. Sebab kasihan katanya. "Akhirnya, dia bukan sahaja tengok tapi juga dapat sambut sendiri anak," katanya. Aininulniza (kiri) dan suami, Mohd Faiz (tengah) bersama tiga anak mereka. Dalam pada itu, dia amat berterima kasih kepada suami dan ibunya melakukan yang terbaik bagi membantu memudahkan prosesnya bersalin dalam keadaan di luar jangka. "Dalam keadaan panik itu, dengan bantuan operator Hospital Tuanku Fauziah (HTF) menerusi panggilan telefon sementara ambulans tiba, anak selamat dilahirkan dengan berat 3.8 kilogram (kg). "Terima kasih doktor dan jururawat Klinik Kesihatan UTC yang semua tiba 10 minit kemudian bagi menguruskan saya dan anak termasuk jahit sekali sikit sebelum kami berdua dibawa ke HTF," katanya. Mengenai anak keempatnya itu, Aininulniza berkata, dia dan suami bercadang menamakannya Ainnur Faqihah dengan tiga lagi anaknya turut mempunyai nama hampir sama iaitu Addina Faqihah, 9, Annisa Faqihah, 7, dan Addhia Faqihah, 4. Selain itu, dia turut memaklumkan bahawa wanita hamil yang melalui pengalaman sepertinya dinasihatkan dibawa segera ke hospital bagi mengelakkan situasi panik. "Jika mengandung kali kedua ke atas, kalau dah rasa kontraksi tu sebaik-baiknya ke hospital lebih cepat bagi mengelakkan situasi panik seperti yang saya alami. "Bimbang sebenarnya tanpa peralatan yang lengkap boleh membahayakan ibu dan anak sekiranya berlaku komplikasi," katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube