BERBEKALKAN sifat positif dan jiwa kental, insiden yang mengaibkan dijadikan sebagai penguat semangat. Si cilik yang lincah bermain bola sepak ini, Muhammad Arif Mohd Radzuan, 12, pernah tular pada April tahun lalu kerana menjadi mangsa gurauan 'kasar' sesetengah netizen yang mendakwa dia mengambil bahan terlarang untuk bersukan gara-gara mulutnya kelihatan 'kacip' ketika ditemubual. Enggan membiarkan bakat muda itu terus terpalit dengan tuduhan kurang enak, bapa Arif iaitu Mohd Radzuan, 38, tampil menjelaskan situasi sebenar bahawa anaknya itu mengalami kecederaan pada bahagian bibir ketika sesi pemanas badan (warm-up). Perlawanan akhir KATMO menentang Sekolah Kebangsaan USJ 12. Demikian itu, Arif terpaksa mengemam bibirnya apabila ditemubual oleh pemberita selepas habis perlawanan. Dalam perkembangan terkini, Arif berjaya mengharumkan nama sekolah baharunya dalam Kejohanan Bola Sepak Karnival Tunas Mini Olimpik (KATMO) 2024. "Arif dulu bersekolah di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8(3), tapi sebab kawasan Putrajaya ni kecil dan bermacam kejuaraan di dalamnya yang Arif dah 'tapau', maka Arif dahagakan cabaran baharu. Mama dia pun sokong juga. ARTIKEL BERKAITAN: Mulut nampak pelik masa interview, pemain bola sepak muda dipersenda ‘kacip’! Bapa tak selesa, tampil beri penjelasan ARTIKEL BERKAITAN: Pele bertarung nyawa, peminat turut berduka... Kenali legenda bola sepak Brazil, satu-satunya pemain julang 3 Piala Dunia "Jadi bulan Oktober lalu, Arif bertukar ke Sekolah Kebangsaan Serdang untuk bertanding dengan wakil dari Selangor pula. Alhamdulillah kehebatan Arif sekali lagi terserlah. "Sekolah yang diwakilinya Arif muncul juara daripada keseluruhan 68 pasukan yang mengambil bahagian. Arif mencetak lebih 23 gol sekali gus menjadi penjaring terbanyak dalam kejohanan KATMO, melayakkan dia menyandang anugerah pemain terbaik. "Nama Arif sekarang hangat dibualkan dalam seluruh negeri Selangor, umur 12 tahun sudah mendominasi pentas permainan berprestij seperti KATMO. Ini bakat terpendam yang menunggu masa untuk meledak," kata Radzuan bangga. Sekarang tiada siapa yang boleh meragui kemampuan Arif, ini bintang yang sedang digilap. MOHD RADZUAN BAPA Arif yang menyarung jersi bernombor 42 bermain di posisi tengah bijak membaca permainan dan cekap mencipta peluang berbahaya untuk dijaringkan gol. Figura cilik ini pastinya menjadi aset berharga bagi setiap pasukan yang diwakili. "Arif ni atlet yang versatil, beberapa hari selepas habis kejohanan bola sepak KATMO, dia masuk pula pertandingan merentas desa KATMO kategori lelaki. Sekali lagi Arif berjaya merebut tempat pertama. "Sekarang tiada siapa yang boleh meragui kemampuan Arif, ini bintang yang sedang digilap," ujar Radzuan. Arif juga berbakat sebagai penjaga gawang. Selain mewakili sekolah, Arif turut yakin menunjukkan taringnya di peringkat antarabangsa ketika bermain untuk kelab. "Bulan September tahun lalu Arif yang mewakili TSS FC memasuki kejohanan Borneo Football Cup 2024, perlawanan akhir dia menentang Hong Kong. Pasukannya menang 3-0. "Campak sahaja Arif masuk ke mana-mana kejohanan, mesti akan ada hasil yang dibawa pulang," kata Radzuan berpuas hati. Arif beraksi dalam kejohanan Borneo Football Cup 2024. Berbicara mengenai masa depan anaknya, Radzuan berkata dia mempunyai perancangan untuk menghantar anaknya menjadi sebahagian daripada Akademi Johor Darul Ta'zim (JDT). "Perkara ini dicadangkan sendiri oleh Pengasas TSS FC, Tengku Shakirinal Shah Tengku Sulaiman Shah. Nanti apabila Arif melangkah ke Tingkatan 1, Insya-Allah dia akan dimasukkan ke Akademi JDT supaya potensinya boleh dikembangkan lagi. "Buat masa sekarang bagi Arif enjoy dulu zaman sekolah rendahnya," ujar Radzuan menutup bicara. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube