UNIT forensik hospital dipertanggungjawabkan memberi perkhidmatan pengurusan berkaitan penerimaan, penyimpanan dan pelepasan mayat yang meninggal dunia akibat kes jenayah atau kemalangan. Kebiasaannya ia melibatkan kerjasama antara doktor forensik, pegawai polis dan pihak berkuasa lain untuk menyiasat punca kematian. Seorang pembantu perubatan mengakui orang ramai sentiasa membayangkan mereka yang bekerja di unit berkenaan sentiasa berdepan kisah seram. Namun bagi seorang pemuda, hal itu hanyalah sekadar cakap-cakap kosong kerana belum pernah melaluinya sehinggalah pada suatu hari dia berdepan situasi menyeramkan. Bekerja di unit forensik menguji kekuatan mental. - Gambar hiasan "Dua malam lepas, aku terima mayat seorang perempuan. Nama dia ‘N’ (bukan nama sebenar). Mangsa bunuh dan kes polis. "Kalau kes bunuh ni memang rumit. Katanya, tunang dia sendiri yang buat. Aku dah biasa uruskan mayat, jadi malam tu aku selesaikan dokumen dan simpan jenazah dalam peti. "Rutin biasa tapi yang jadi lepas tu lain cerita. Malam pertama lebih kurang waktu maghrib aku dengar suara sayup-sayup menangis," kongsinya di media sosial. Tambahnya ketika kejadian dia tidak berseorangan dan apabila ditanya rakan sekerjanya, individu beranggapan bunyi berkenaan datangnya daripada pendingin hawa. ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki cekik teman wanita sampai maut, risau kekasih gelap bongkar rahsia kepada isteri ARTIKEL BERKAITAN: Kaki pucat kebiru-biruan, petugas bilik mayat tahu wanita di depannya bukan rakan... “Gangguan perkara biasa, tapi tetap rasa takut” "Masalahnya aku dengar suara perempuan. Suara sayup. Nada sayu je... maaf, maafkan sayang. Suara tu cakap begitu. Serius, meremang satu badan. "Aku ajak kawan periksa setiap bilik. Dia ni berani sikit. Setiap tempat kami periksa. Kaunter depan, pejabat, pantri, bilik bedah siasat tapi semua kosong. "Sampai kami tersedar suara tu sebenarnya datang daripada peti mayat," katanya. Pembantu perubatan itu memaklumkan dia terfikir untuk berlari tetapi rakannya memilih untuk membuka peti mayat N. ‘N’ dibunuh sebab tunang dapat tahu dia curang dengan kawan tempat kerja, walhal lagi sebulan nak kahwin. PEMBANTU PERUBATAN "Mayat N masih terbaring elok. Cantik manis orangnya. Kami baca ayat kursi dan tutup balik. "Malam esoknya, benda sama jadi lagi. Kali ni aku kerja seorang. Suara perempuan menangis tu muncul balik. Sama... maaf, maafkan sayang. Suara tu macam penuh rasa menyesal dan bersalah," katanya. Tidak berpuas hati dengan apa yang dilalui, lelaki itu bertanya kepada pegawai polis yang mengendalikan kes N dan kisah lalu wanita berkenaan menyebabkan dia terkejut. "N dibunuh sebab tunang dapat tahu dia curang dengan kawan tempat kerja. Walhal lagi sebulan nak kahwin. Bilik mayat memang menyeramkan. "Polis kata tunang dia macam hilang akal apabila tahu, terus cekik arwah sampai mati dalam kereta. Lepas tu serah diri kat balai polis. "Tapi ada satu benda yang aku rasa tak tenang apabila polis beritahu, sebelum N meninggal, dia menangis dan merayu minta maaf," katanya. Tambahnya, sehingga kini dia tidak pasti sama ada tangisan itu betul-betul daripada mayat di dalam peti atau halusinasinya. "Tapi aku rasa mungkin dia cuma nak minta maaf daripada tunang dia. "Apa-apa pun aku takkan lupa malam tu. Seram, sayu, dan penuh misteri," katanya mengakhiri cerita. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube