HATI ibu mana yang tidak terguris apabila adik beradik sendiri tidak suka dengan anak-anaknya.
Seperti dialami wanita ini, dia sedih apabila keluarga terdekat menganggap anak-anaknya sebagai merimaskan kerana sering membuat bising setiap kali pulang ke kampung.
Katanya dia sudah lama tidak pulang ke kampung kerana terasa hati dengan kata-kata ahli keluarga yang terang-terangan mengaku tidak suka kepada anak-anaknya, malah diminta untuk tidak balik ke rumah pusaka lagi.
Ibu dengan dua cahaya mata ini berkata, anak sulung perempuannya adalah anak istimewa dan ada ketika tidak faham akan situasi sekeliling.
Seorang wanita berkongsi kisah ahli keluarga yang tidak sukakan anak-anaknya.
Manakala, anak keduanya pula lelaki berusia dua tahun yang masih mentah dan sukar untuk berpisah dengannya.
“Individu yang bercakap ni darah daging, dalam keturunan yang dekat. Susahnya bila rumah pusaka, rumah kampung untuk anak cucu balik, tapi dianggap menyusahkan.
“Anak cucu dianggap bising dengan anak-anak kecil. Bila duduk bercampur generasi dari yang terdahulu hingga kini, payah.
“Biasalah, hati manusia lain-lain, walaupun cucu cicit saudara sendiri, hati kalau dah benci tak ada apa boleh ubah,” luahnya dengan sedih.
ARTIKEL BERKAITAN: Mak pilih bulu, gadis sering jadi sasaran makian... dikerah macam kuli, adik-beradik lelaki pemalas tetap anak kesayangan
ARTIKEL BERKAITAN: Mentua suka banding wajah, siapa lebih comel... Menantu terpaksa ‘sound’, asyik suruh picit hidung cucu baru lahir nak bagi mancung
Menurut individu ini lagi, ahli keluarga berkenaan juga seolah-olah mengugut ibunya tidak mahu memberikan layanan sewajarnya jika dia dan anak-anak pulang ke kampung.
“Susah ye nak berdamai, sebab hati dia (ahli keluarga) dah hitam. Dia siap pesan dekat mak aku kalau aku balik, dia tak nak layan.
“Seumur hidup aku, ni la kali pertama aku tak jejak rumah kampung selama enam bulan selepas aku anak beranak dihalau.
“Aku balik kampung, tapi aku tak singgah rumah kampung. Aku jumpa mak aku dekat tempat kerja dia untuk hantar makanan,” jelasnya.
Individu yang bercakap ni darah daging, dalam keturunan yang dekat.
IBU
Lebih menyedihkan, jika berasa rindu, ibunya sanggup datang ke rumahnya walaupun perlu menaiki tiga bas berbeza.
“Seminggu sebelum ulang tahun aku pada Oktober lalu, mak aku datang rumah naik bas.
“Turun naik tiga bas untuk sampai ke rumah aku demi nak hantar hadiah ulang tahun dan tengok kedua-dua cucu dia.
“Sampai mati aku ingat apa kau (ahli keluarga) buat pada aku dan anak-anak. Tak pernah sekali anak-anak aku buat jahat. Kau melalak, auto cakap 'den tak suka anak anak ko, bising melalak je'” katanya.
Lumrah kanak-kanak suka bermain dan membuat bising. -Gambar hiasan
Menerusi ruangan komen, wanita ini memberitahu bahawa dia sudah mendapatkan kepastian daripada ahli keluarganya itu sama ada benar dia tidak menyukai anak-anaknya.
“Sakit sangat. Tiga kali saya tanya betul tak suka anak-anak saya, jawapan sama.
“Budak-budak ni tak berdosa pun, tak salah sayang anak-anak saya ni. Ada seorang anak syurga lagi,” luahnya.
Posting berkenaan mendapat perhatian warga maya apabila ada yang berkongsi pengalaman ‘merajuk’ dengan keluarga dan tidak pulang ke kampung halaman.
Ada juga yang dapat merasai kesedihan dialami wanita ini apabila ahli keluarga terdekat tidak menggemari kehadiran anak-anaknya.
“Kalau saya tak balik dah. Mendiamkan diri. Buat hal sendiri lebih tenang.
“Saya dah dua tahun tak balik. Makcik sendiri berkahwin tapi anak tak diberitahu. Sedih hati. Apa dosa saya pada mereka.
“Tak payah balik, jauhkan diri dari segala toksik, lagi-lagi jauhkan daripada anak-anak. Bukan semua layak jadi ibu bapa.
“Keluarga ke yang cakap? Jangan la balik sampai bila-bila.
“Jangan paksa diri bila orang tak suka, buat hal sendiri dan doakan mereka. Tak guna balik tapi anak-anak dibenci.
“Utama dan bahagiakan diri, mental dan orang-orang yang menyayangi kita. Bukan orang yang toksik hanya tau buat hati kecewa,” antara komen netizen.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube