PASTI ramai ibu bapa kurang senang jika orang lain merakam gambar atau video anak mereka, lebih-lebih lagi dalam keadaan tidak berpakaian. Ia kerana sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk melindungi privasi dan maruah anak mereka apatah lagi dalam keadaan yang memalukan. Di media sosial seorang wanita meluahkan rasa kecewa dengan tindakan adik iparnya berkongsi video anak perempuannya berusia tiga tahun yang hanya memakai lampin tanpa berpakaian. Lebih menambah kemarahan wanita berusia 30 tahun itu apabila video berkenaan bukan sahaja dikongsi kepada sepupu mereka, tetapi turut juga ditunjukkan kepada suami sepupu. Setiap ibu bapa meletakkan kepercayaan terhadap orang sekeliling dalam menjaga anak mereka. - Gambar hiasan "Dapat tahu pun dari anak-anak sepupu. Mereka tanya kenapa anak saya selalu tak pakai baju kat rumah. Anda semua tahu la budak-budak kalau baju basah sikit akan buka sendiri. "Tapi tak sangka adik ipar ambil video kecomelan anak saya untuk dihantar pada orang lain," katanya. Wanita itu memaklumkan dia tahu adik iparnya yang seusia dengannya itu tidak berniat jahat tetapi dia merasakan privasi anaknya terancam. ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki 'gatal' curi-curi selak jubah, rakam bawah kain wanita di pasar raya ARTIKEL BERKAITAN: Warga emas giat curi rakam gambar ibu hamil! Penuh koleksi baby bump dalam telefon "Saya betul-betul marah. Sebab itu aurat anak saya walaupun dia masih kecil. Kalau keluar mesti saya pakaikan seluar panjang, baju lengan panjang dan kadang-kadang tudung. "Tapi dia dengan senangnya hantar video anak saya yang hanya pakai lampin kepada orang lain," katanya. Dia memaklumkan hal berkenaan kepada suaminya dan ternyata lelaki itu turut marah dengan perbuatan adik bongsunya sendiri. "Suami dan adiknya tidak bercakap, jadi dia beritahu mak untuk minta adik jangan rekod video anak kami lagi," katanya. Sekarang ini pedofilia makin mengganas, bukan nak sangka buruk tetapi kena berjaga-jaga. NETIZEN Menceritakan lebih lanjut, hubungan dia dan adik ipar pada awal perkahwinan adalah baik, namun menjadi renggang kerana suaminya bergaduh dengan adiknya. Tambahnya ketika anaknya itu masih bayi, adik ipar langsung tidak pernah menyentuh atau cuba bermain walaupun mereka tinggal sebumbung dengan mentua. "Bapa mertua saya sangat gembira dan main dengan bayi saya. Ada satu hari tu adik ipar tanya bapa mentua nak minum air apa. Mungkin tak dengar, jadi dia tanya lagi dengan nada tinggi. "Sebab itu adik ipar merajuk dan terus masuk bilik hempas pintu. Bayangkan betapa kuatnya bunyi hempaskan pintu tu. Nasib baik anak saya tak nangis atau terkejut," katanya. Reaksi netizen Katanya perbuatan adik iparnya itu langsung tidak ditegur oleh mentuannya kerana anak bongsu yang selalu dimanja. "Apabila anak saya dah besar sikit, dah nampak comel sikit dan berisi, barulah dia mula main-main dengan anak saya. "Tapi saya okay je, tak kisah. Dan dia pun mula berbual balik dengan kami. Tapi dia rekod anak tak berbaju pula," katanya. Sementara itu, netizen menyokong tindakan wanita itu menegur perbuatan adik iparnya bagi mengelak kejadian sama berulang. "Sila tegur terus, kalau dia nak emosi terpulang kepada dia. Awak boleh pesan supaya jangan ambil video baby lagi. "'Kesian dia nanti besar tengok aib dia. Kita pun tak nak orang tengok aib kita kan'," kata netizen. "Sekarang ini pedofilia makin mengganas. Bukan la nak sangka buruk tetapi kena berjaga-jaga. Lagi pun itu privasi keluarga," kata warga maya.