BAGI mereka yang baru saja kehilangan ahli keluarga, kehadiran bulan suci Ramadan kali ini pastinya disambut dengan rasa sayu dan hiba.
Kesedihan itu turut menyelubungi Mohamad Fakhruddin Mohamad Fikri, 35, selepas anak lelakinya meninggal dunia akibat tercekik gula-gula getah pada 20 Februari lalu.
Menurut penghantar makanan itu, sejak pemergian arwah, dia dan keluarganya menziarahi pusara Mohamad Fahmi, 10, setiap hari demi melepaskan rasa rindu yang terbuku dalam hati.
Pemergian arwah juga memberi kesan buat adiknya yang baru berusia empat tahun.
"Puasa tahun ini memang sedih, apatah lagi nak raikan Aidilfitri. Kita sentiasa teringatkan arwah. Tahun lepas dia sempat berpuasa, dia seronok belajar untuk puasa.
"Biasanya arwah anak saya ni suka makan ayam goreng. Adiknya yang umur empat tahun pun faham, dia selalu sebut yang abangnya dah tiada, dah 'duduk' dalam tanah.
"Mereka memang rapat, hampir semua benda arwah buat sama-sama dengan adik perempuannya," ujar bapa kepada dua cahaya mata itu ketika dihubungi mStar.
Dalam dua ke tiga hari sebelum meninggal, dia makan banyak dan asyik nak saya suap saja.
MOHD FAKHRUDDIN MOHAMAD FIKRI
BAPA MANGSA
Menurut Fakhruddin, dia juga merancang untuk membelikan sehelai baju Melayu buat arwah untuk disimpan sebagai tanda ingatan.
"Saya belum buat persiapan raya lagi. Tapi kalau ikut rancangan, kita sekeluarga nak pakai baju sama warna. Nak sedondon seperti tahun lepas.
"Mungkin juga akan beli baju Melayu untuk arwah walaupun dia dah tiada, boleh kami simpan sebagai kenangan," ujar Fakhruddin lagi.
ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi ‘gummy’ ragut nyawa masih berbekas, peniaga ‘jelly ball’ pun kena tempias - “Suami saya tak bagi jual”ARTIKEL BERKAITAN: Murid 10 tahun tercekik gula-gula ‘gummy’ meninggal dunia
Dalam pada itu, Fakhruddin berkata arwah anaknya turut menunjukkan perubahan dalam tempoh beberapa hari sebelum meninggal dunia.
"Dalam dua ke tiga hari sebelum meninggal, dia makan banyak dan asyik nak saya suap saja. Selalunya, kalau saya hantar ke sekolah, dia akan jalan terus dan tak berpaling.
"Tapi hari dia tercekik tu, dia berjalan masuk ke sekolah sambil berpaling tengok saya, dia senyum saja.
"Itu saya anggap memori terindah yang akan saya ingat. Dia macam nak bagi saya tak lupa kepada dia," ujar Fakhruddin lagi.
Mengulas kekecohan tentang gula-gula gummy yang dipercayai menjadi punca anaknya meninggal dunia, Fakhruddin berkata dia enggan menyalahkan mana-mana pihak.
Kematian kanak-kanak itu menerima liputan meluas sejak minggu lalu.
Sebaliknya, Fakhruddin menganggap kejadian itu hanyalah satu asbab dan dia sekeluarga sudah reda dengan takdir yang tertulis untuk mereka.
"Saya tidak salahkan sesiapa. Saya anggap itu asbab saja, ajalnya dah sampai. Janganlah sampai boikot peniaga gula-gula itu.
"Nak beli atau makan lagi, itu terpulang pada diri masing-masing. Kalau takut jadi macam anak saya, jangan beli. Tapi janganlah suruh boikot.
"Tak mahu kecam-kecam. Apapun, saya nak ucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan anak saya dan yang datang melawat serta beri sumbangan," ujarnya.
Untuk rekod, Mohamad Fahmi kritikal selepas rebah dipercayai tercekik gula-gula di Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa), di Sungai Dua, Butterworth, kira-kira 2.30 petang, 18 Februari lalu.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) pukul 11 malam, 20 Februari.