SAMBIL duduk bersendirian di atas kerusi, seorang remaja kelihatan sedang asyik bersembang dengan 'seseorang' seolah-olah individu berkenaan berada di hadapannya. Itulah rutin Muhammad Hafiz Meor Nahar setiap kali ke Tanah Perkuburan Islam Surau Al-Solihin, Kampung Ekor Kucing, Padang Serai, Kedah untuk menziarahi pusara sahabat baiknya, Muhammad Aqil Lukman Azlin. Video Muhammad Hafiz yang dirakam ibunya dan dimuat naik di laman TikTok itu mengundang rasa sebak warga maya yang seakan-akan dapat menyelami perasaan remaja tersebut. Menurut Muhammad Hafiz, itulah rutin bulanannya selepas sahabat baiknya yang mesra disapa sebagai Aqil, meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 27 Februari 2023. "Setiap bulan atau setiap kali teringat dekat arwah, saya pasti datang ke kubur untuk ziarah pusaranya. Selalunya saya ditemani ibu atau ayah. Ada juga pernah datang dengan ahli keluarga arwah. Muhammad Hafiz (tiga, kiri) bersahabat baik dengan Allahyarham Aqil (dalam bulatan) sejak kecil. "Setiap kali datang, saya bagi salam. Selepas itu baca surah Yasin serta hadiahkan Al-Fatihah untuknya. "Kemudian saya akan minta ruang daripada ibu atau ayah untuk bersendirian sebentar di pusara arwah. Jika dulu dia tempat saya meluah macam-macam, berkongsi cerita.... sekarang pun sama walaupun dia sudah di alam sana. "Arwah adalah kawan yang setia, orang kepercayaan dan pendengar yang baik," kongsinya kepada mStar. Mengimbas kembali tragedi duka yang menimpa sahabat baiknya itu, Muhammad Hafiz berkata Aqil terbabas ketika mahu mengelak lubang, sebelum dirempuh sebuah lori dari arah hadapan. ARTIKEL BERKAITAN: 10 BFF bergegas balik kampung, mahu iring sahabat yatim piatu pulang ke negeri abadi - “Kami dah janji susah senang sampai mati” ARTIKEL BERKAITAN: Bersungguh minta rakam momen iftar bersama sebelum maut kemalangan! BFF tak kan lupa pesan arwah di simpang lampu isyarat "Ketika itu cuti sekolah hampir tamat. Pagi hari kejadian, saya, Aqil dan beberapa rakan lain rancang keluar bersarapan bersama. Kami menunggang motosikal berasingan. "Ketika hampir sampai, rakan-rakan lain dah di depan. Ada sebuah lori di sebelah kiri dan saya pun potong. Tapi kemudian saya sedar Aqil tak ada di belakang saya. "Saya hon rakan-rakan dan kemudian pusing balik nak cari Aqil. Rupanya dia kemalangan. Ingatkan tak teruk, rupanya apabila sampai, Aqil dah nazak. "Menggelar lutut tengok sahabat baik terbaring di atas jalan. Aqil sempat mengucap dengan bantuan orang ramai, dan tidak lama selepas itu menghembuskan nafas terakhir di depan mata saya," cerita remaja berusia 17 tahun ini. Hampir lima bulan juga saya down. Saya berubah menjadi seorang pendiam, selalu habiskan masa dalam bilik, tak bersosial. MUHAMMAD HAFIZ Anak kedua daripada tiga adik-beradik ini berkata, dia kemudian pengsan sejurus selepas sahabat baiknya itu menghembuskan nafas terakhir. Malah ujar Muhammad Hafiz, pemergian Aqil seolah-olah turut membawa bersama sebahagian semangatnya. "Hampir lima bulan juga saya down. Saya berubah menjadi seorang pendiam, selalu habiskan masa dalam bilik, tak bersosial. Rasa sunyi sangat. "Namun perlahan-lahan, saya bangkit dengan bantuan keluarga dan rakan-rakan," ujarnya lagi. Muhammad Hafiz mengakui pernah murung hampir lima bulan selepas pemergian sahabat baiknya. Tidak menyangka videonya di pusara Aqil menjadi tular, Muhammad Hafiz berkata dia turut sebak apabila membaca komen-komen warga maya yang memberikan kata-kata semangat untuk dirinya. "Ramai juga yang merasai kehilangan orang tersayang atau orang yang rapat. Saya memahami perasaan tersebut. Sama-samalah kita kuat dan mendoakan mereka di sana. "Saya juga bersyukur, asbab video itu tular, ramai yang turut mendoakan arwah. "Apa yang saya boleh kongsikan, hargailah kawan-kawan sebab kita tak tahu siapa yang akan pergi dahulu. Ciptalah memori sebanyak mungkin," akhirinya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube