GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang menyasarkan hasil jualan sebanyak RM500,000 daripada penganjuran Karnival Usahawan Pulau Pinang (KUPP) ketiga bermula Khamis hingga 14 Mei. Karnival yang akan berlangsung di tempat letak kereta Queensbay Mall, di sini akan dibuka mulai pukul 10 pagi hingga 12 tengah malam, kata Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Mohd Rashid Hasnon. "Sebanyak 50 gerai jualan dan pameran dibuka pada karnival tujuh hari itu," katanya pada sidang akhbar di sini. Beliau berkata, pelbagai aktiviti diadakan sempena karnival itu, antaranya pelancaran dan demonstrasi produk, jualan produk usahawan dan pertandingan ayam serama tercantik serta pertandingan burung. Masuk dan tempat letak kereta dekat tapak karnival adalah percuma, katanya.