PUTRAJAYA: Tekun Nasional (TEKUN) mahu memastikan usahawan di bawah pembiayaannya berjaya dan tidak mempunyai mentaliti bahawa bantuan kewangan adalah segala-galanya. Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Rahim Hassan berkata ini sejajar matlamat TEKUN yang tidak ingin sekadar menjadi sebuah institusi yang menyediakan kemudahan kredit sebaliknya turut dilihat sebagai institusi pembangunan usahawan. "Modal sememangnya boleh disediakan namun kecekapan dan ilmu mengendalikan perniagaan juga penting dalam menentukan kejayaan. "Kita sentiasa membantu mereka dengan memberi kursus yang berkaitan malah peniaga yang gagal juga kita cuba pulihkan dengan memberi peluang kedua kepada mereka namun ini semua terpulang kepada usahawan kerana mereka yang akan menentukan hala tuju perniagaan mereka," katanya dalam sidang media yang turut dihadiri Menteri Pertanian Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini. Sejak diwujudkan pada 1998 hingga 30 April 2014, TEKUN menyalurkan pinjaman sebanyak RM3.08 bilion kepada 287,309 peniaga dan usahawan di negara ini. Terdahulu, Ismail Sabri mengumumkan Abdul Rahim dinobat sebagai Tokoh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 2014 oleh Persatuan Institusi Pembangunan Kewangan Asia dan Pasifik (ADFIAP) bersempena persidangan tahunan ke-37 persatuan itu pada 23 hingga 25 April lepas di Moscow, Rusia. ADFIAP dianggotai 125 bank dan insitusi kewangan pembangunan dari negara Asia Pasifik dan pemilihan Abdul Rahim merupakan pengiktirafan terhadap kepimpinan beliau menerajui TEKUN. Ismail Sabri juga berkata peratus usahawan TEKUN yang gagal setakat ini tidaklah terlalu besar, iaitu hanya sekitar 19 peratus dan institusi berkenaan berusaha membantu dengan memberi peluang kedua untuk mereka memulihkan perniagaan masing-masing. "TEKUN memberi peluang misalnya dari segi pinjaman dengan melonggarkan syarat kepada mereka melalui penjadualan semula tempoh bayaran balik dengan dipanjangkan tempoh pinjaman," katanya. Beliau berkata bagi peniaga yang tidak mampu membayar penuh pinjaman mereka, TEKUN memberi kelonggaran dengan menerima separuh daripada bayaran sepatutnya. "TEKUN ini berbeza daripada insitusi kewangan lain yang mana biasanya mereka akan membayar secara mingguan mengikut kemampuan bahkan pegawai TEKUN yang datang mengutip bayaran juga akan bertanya tentang prestasi perniagaan mereka. "Mereka datang bukan untuk mengutip hutang semata-mata tetapi mahu melihat sejauh mana pencapaian para peniaga di bawah TEKUN," katanya.