suria

Ekspo Pengguna Tawar Diskaun 40 Peratus

PUTRAJAYA: Ekspo Pengguna Malaysia 2014 yang dijadualkan dari 31 Mei hingga 8 Jun ini di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade (MECC) di ibu negara menawarkan diskaun sehingga 40 peratus bagi barangan yang dijual.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hasan Malek berkata ekspo itu melibatkan lebih 200 syarikat dan pasar raya.

"Pengunjung juga berpeluang berbelanja menggunakan pelbagai kad diskaun yang diberi oleh kerajaan seperti Kad Diskaun 1Malaysia, Kad Skuad Pengguna, Kad Diskaun Siswa 1Malaysia, kad diskaun untuk warga Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia, Kad Pesara Kerajaan serta Kad Orang Kurang Upaya," katanya dalam sidang media, di sini.

Hasan berkata ekspo besar-besaran itu merupakan inisiatif KPDNKK bagi meningkatkan kuasa membeli pengguna selain meringankan beban kos sara hidup.

KPDNKK menyasarkan 200,000 orang mengunjungi ekspo ini, katanya.

Mengulas isu berkaitan, Hasan meminta orang ramai membuat aduan kenaikan harga barangan yang melampau menerusi talian 1-800-886-800.

Sementara itu, beliau meminta rakan dagang Kad Diskaun 1Malaysia yang berminat menyertai ekspo tersebut agar menghubungi sekretariat di talian 03-88825970, 03-88825861, 010-7036710 atau 012-2414957.

KPDNKK, Putrajaya

Artikel Lain