TAHUN ini Anugerah Seri Angkasa 2024 (ASA 2024) tampil kelainan dengan mewujudkan kategori Audio Siar (podcast) Terbaik bagi menghargai trend media sosial tersebut. Menurut Timbalan Menteri Komunikasi iaitu Teo Nie Ching, platform podcast yang dilihat semakin berkembang sejak kebelakangan ini membuatkan pihaknya berpendapat sudah tiba masa pencipta kandungan itu diiktiraf. "Podcast merupakan satu trend baharu, saya rasa ia penting untuk mengiktiraf media baharu. "Media sosial sekarang dah berubah, podcast sangat popular dan bagus masa sekarang. Jadi saya rasa sekarang masa sesuai beri pengiktirafan pada podcaster. Nie Ching (tengah) ditemui di Sidang Media Pencalonan Anugerah Seri Angkasa 2024. "Setakat ni hanya ada satu kategori untuk podcast. Tapi kalau ia berlangsung dengan cemerlang mungkin kita akan buat penambahbaikan. Lagi dua tahun mungkin boleh ditambah, cuma saya rasa mungkin ambil masa sedikit, katanya kepada pemberita. Nie Ching berkongsi perkara itu ketika ditemui semasa Sidang Media Pencalonan Anugerah Seri Angkasa 2024 yang diadakan di Kementerian Komunikasi, Putrajaya pada pagi Jumaat. Sementara itu, Setiausaha Bahagian Pembangunan Kandungan Kementerian Komunikasi iaitu Norhadznita Mohammad Ilham pula berkata, pihak kementerian akan meneliti terlebih dahulu jika Anugerah Podcast Terbaik juga layak diberikan Dana Kandungan Kreatif (DKK). "Sebenarnya pada tahun 2022, kementerian dah mula beri Dana Kandungan Digital, sekarang nama baharu DKK... kami dah bagi anugerah itu untuk kategori Drama Terbaik dan Dokumentari Terbaik. ARTIKEL BERKAITAN: Noorkhiriah rangkul anugerah Pelakon Komedi TV Terbaik di ASA2022... “Tak sangka sebab ramai pesaing hebat!” ARTIKEL BERKAITAN: “Saya memang tiada kereta, Allah makbulkan doa saya” - Fauziah Nawi Tokoh Seri Angkasa 2022, dikejutkan hadiah MPV Mitsubishi Xpander "Mungkin podcast kita akan teliti macam mana, sebab anugerah ini akan ditambah baik sampai jadi yang terbaik. Kita bukan lihat dari populariti tapi dari segi kualiti,” jelasnya. Tahun ini, pencalonan ASA2024 akan dibuka selama dua minggu bermula 1 Julai hingga 15 Julai depan. ASA2024 mempertandingkan sebanyak 60 kategori, iaitu 40 kategori televisyen (TV), 16 kategori radio dan empat (4) kategori media baharu. Turut diperkenalkan satu kategori baharu di bawah media baharu, iaitu Podcast Terbaik. Terdapat 62 kategori dalam Anugerah Seri Angkasa pada tahun ini, Di samping itu, dua kategori khas iaitu Anugerah Khas Juri dan Tokoh Seri Angkasa juga ditampilkan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 62 kategori. Syarat utama penyertaan ialah semua pencalonan perlu dikemukakan melalui organisasi penyiaran yang berlesen dan pertama kali disiarkan di stesen penyiaran dan platform media baharu dalam tempoh antara 1 Januari 2022 hingga 31 Disember tahun lalu. Sepanjang tempoh pencalonan, Kementerian Komunikasi turut menyediakan kemudahan untuk mengakses dan mengemukakan pencalonan melalui sistem ASA2024 di Makmal Komputer B, Aras 19, Kompleks Kementerian Komunikasi. Semua stesen penyiaran kerajaan dan swasta dipelawa untuk merujuk dan mengemukakan pencalonan bagi 60 kategori secara dalam talian melalui laman sesawang www.anugerahseriangkasa.gov.my. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!