LOS ANGELES: Bekas ejen MI5, 007 Pierce Brosnan telah kembali ke layar perak sebagai perisik dalam filem berjudul "The November Man". Bagaimanapun, kali ini dia tidak akan membawa watak sebagai ejen British, James Bond, sebaliknya sebagai ejen Agensi Perisikan Pusat Amerika (CIA) yang bertelagah dengan bosnya. Aktor Irish itu menegaskan yang dia tidak sedikit pun berasa kekok untuk membawa watak aksi walaupun sudah mencecah usia 61 tahun. Dirakamkan di Belgrade, filem tersebut sudah mula ditayangkan di seluruh Amerika Syarikat mulai Rabu. "The November Man," yang turut diterbitkan oleh Brosnan adalah kisah berdasarkan siri novel Bill Granger, yang menceritakan tentang pengembaraan Peter Devereaux, bekas ejen CIA yang terpaksa dipanggil bertugas semula selepas bersara untuk satu misi terakhir. Misinya ialah untuk mendapatkan seorang perisik wanita Rusia di Moscow, (yang juga merupakan ibu kepada anaknya) kerana ejen wanita itu mempunyai bahan bukti tentang skandal jenayah salah seorang calon presiden Rusia. Pada masa yang sama, bekas pelatih Devereaux, yang bernama David Mason (Luke Bracey) turut ditugaskan membunuh ejen wanita tersebut. Apabila misi ini menjadi tidak terkawal, Mason telah diarahkan supaya menghapuskan mentornya Devereaux pula sekaligus mencetuskan konflik dan sebagainya. Brosnan mengakui, menerima semula peranan sebagai seorang ejen selepas 12 tahun meninggalkannya adalah sesuatu yang sukar. Kata Brosnan walaupun telah membawa watak perisik berulang-ulang kali dalam filem James Bond tetapi dia masih memerlukan latihan untuk filem terbarunya ini. Pengarah Roger Donaldson berkata, cabaran terbesarnya ialah bagaimanakah untuk mengadaptasikan cerita itu ke dalam era moden yang memiliki telefon bimbit, pesawat pengintip drone dan teknologi moden yang lain. Ini kerana novel tersebut dihasilkan pada era kesemua kemudahan tersebut masih belum wujud lagi.