BUAT peminat setia Adele, ada berita buruk untuk anda! Penyanyi berusia 29 tahun itu tidak mahu lagi mengadakan konsert jelajah kerana merasakan ia tidak sesuai dengan dirinya. Perkara itu diluahkan Adele ketika persembahan terakhir konsert jelajahnya itu yang diadakan di Stadium Wembley, London pada 28 Jun lalu seperti dilaporkan The Independent. "Saya mahu akhiri konsert ini di London kerana saya tidak tahu sama ada saya akan menjelajah lagi dan biarlah yang terakhir ini di rumah saya sendiri. "Terima kasih kerana datang dan menunjukkan kasih saya dan kebaikan. Saya akan mengingati saat ini sepanjang hidup saya," katanya. Penyanyi bersuara emas itu buat pertama kali mengadakan konsert jelajah dunia bersempena dengan pelancaran album terbaharunya berjudul 25 yang sehingga kini telah pun terjual sebanyak 20 juta salinan. Menerusi konsert jelajah itu, Adele telah mengadakan 123 persembahan di United Kingdom, Ireland, Eropah, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat dalam tempoh 18 bulan. "Menjelajah dari satu destinasi ke tempat lain adalah sesuatu yang bukan diri saya tambahan pula saya seorang yang dramatik dan ada sejarah buruk apabila mengadakan konsert jelajah. "Saya seorang yang ringkas dan gembira dengan perkara-perkara kecil. "Tujuan saya adakan konsert ini adalah kerana anda dan diharap ia meninggalkan kesan terhadap diri anda semua," katanya.