SETELAH sekian lama menanti, peminat duo popular Korea Selatan, MXM, akhirnya boleh menarik nafas lega apabila mereka bakal membuat kunjungan pertama ke Malaysia, 1 Mei nanti. Kunjungan menerusi program 'fan meeting' itu akan memberi peluang kepada peminat untuk mengenali anggotanya, Lim Young Min dan Kim Dong Hyun dengan lebih rapat. Mereka yang suatu ketika dahulu pernah mencipta nama menerusi program realiti Produce 101 musim kedua melancarkan kerjaya sebagai artis duo bermula 6 September tahun lalu. Baru-baru ini mereka kembali dengan album terbaharu berjudul Rematch sebelum memulakan jelajah pertemuan dengan peminat di Seoul. Antara lagu popular duo berkenaan ialah I Am The One, Diamond Girl, Gone Cold dan Love Me Know. Selain menyanyi dan menari, bakat mereka dalam menulis dan menggubah lagu turut menjadikan mereka sangat popular dan diminati ramai. Program 'fan meeting' yang dianjurkan oleh iME Malaysia dan Warner Music Malaysia itu akan berlangsung di HGH Convention Hall, Kuala Lumpur. Harga tiket bagi CAT 1 dijual pada harga RM380, CAT 2 (RM250) dan tiket VIP dijual pada harga RM450. Tiket akan mula dijual pada 10 Mac ini bermula 10 pagi di laman web www.ticketcharge.com.my. Selain itu, peminat juga boleh mendapatkan tiket di outlet terpilih Speedy Video, Rock Corner, Chambers Music dan PJ Live Arts. Bagi peminat di luar Kuala Lumpur, mereka boleh mendapatkan tiket di Eden Ultimate (Kuantan) atau Blonde Brunette (Pulau Pinang) ataupun menghubungi talian TicketCharge di +603-92228811.