KELIBAT pelakon dan pengacara Lee Seo Won tidak kelihatan di mahkamah pada sesi sebutan kes gangguan seksual dan ugutan yang dihadapinya pada 22 November lalu kerana dia sedang menjalani latihan tentera. Koreaboo melaporkan Seo Won sebelum ini didakwa dengan sengaja cuba mencium seorang artis wanita sebelum mahu merabanya walaupun mangsa menolak. Pengacara program Music Bank itu turut didakwa mengugut artis yang dikenali sebagai Miss A itu menggunakan pisau apabila mangsa menelefon teman lelakinya bagi mendapatkan bantuan. Seo Won tidak pernah mendedahkan tentang kejadian itu kepada pihak pengurusannya dan meneruskan tugasnya sebagai hos porgam itu seperti biasa sehinggakan kejadian itu dilaporkan media. Akibatnya, dia dilucutkan sebagai hos porgram itu selain namanya digugurkan daripada membintangi drama berjudul About Time. Pada perbicaraan pertama kes itu, Seo Won mengaku bersalah atas semua pertuduhan ke atasnya dan pada sebutan kedua kes, dia memohon maaf kepada mangsa selain menceritakan kejadian sebenar. Pada 25 Oktober lalu, mangsa hadir untuk memberikan keterangan dan Seo Won sepatutnya hadir pada 22 November lalu namun peguamnya memberitahu pelakon itu baharu sahaja menyertai latihan tentera dua hari sebelumnya dan tidak dapat menghadirkan diri. Kes itu disambung Januari depan.