PELAKON Nia Ramadhani sekali lagi menjadi bualan apabila berkongsi pengalaman pertama kali menaiki jet peribadi. Kata Mia kali pertama dia menaiki jet peribadi ketika masih bercinta dengan Ardi Bakrie. Menurut Kapan Lagi, Nia berkongsi mengenai hal itu ketika bersiaran dalam program Ngopi Dara. "Naik jet peribadi pernah, tetapi itu masa bercinta dengan Ardi Bakrie dan pergi bersama keluarganya ke satu destinasi. "Anda tahu kan macam mana orang kampung (menunjuk kepada dirinya). Orang kampung naik jet peribadi inilah saya," katanya kepada pengacara program itu. Nia kongsi pengalaman naik jet peribadi semasa bercinta dengan Ardi. Berbeza dengan pesawat biasa, kerusi yang ada di dalam jet peribadi boleh dipusingkan. Semasa pelepasan, selalunya mereka akan memusingkan kerusi mengarah ke hadapan. Namun, Nia tidak berbuat demikian bukan kerana dia tidak mahu tetapi dia tidak tahu bagaimana cara memusingkan kerusi itu. "Saya tak berasa asing masa itu dan buat-buat tahu. Tetapi bila masa pelepasan, mentua saya tiba-tiba memusingkan kerusi itu menghadap ke arah saya. "Dalam hati saya bercakap 'habis lah saya macam ni... macam mana nak pusingkan kerusi ni?' saya cari butang di bahagian kanan kerusi sebab selalunya butang untuk pusingkan ada di situ. "Tetapi kalau di pesawat biasa, kerusi tidak boleh di pusingkan. Hanya ada butang untuk tetapkan kedudukan sahaja. Saya sudah mencari-cari tetapi tidak jumpa," ucapnya. Nia bersantai bersama suami dan anak-anaknya. Semasa pelepasan itu, Nia duduk secara mengiring kerana tidak boleh memusingkan kerusinya dan menahan malu saat ditanya oleh ibu Ardi. Nia juga berang terhadap Ardi kerana tidak menolongnya malahan tertidur. "Ibu Ardi bertanya kepada saya apakah saya tidak berasa pening dan saya menjawab tidak sebab menahan rasa malu. "Saya bertanya di manakah Ardi, rupa-rupanya dia sedang asyik tertidur. Saya berasa sangat berang," tambahnya. Ibu kepada tiga orang anak itu akhirnya memberanikan diri untuk bertanya kepada ibu Ardi bagaimana cara memusingkan kerusi itu semasa pulang dan rupanya ada butang di sebelah kerusi yang hanya perlu ditekan sahaja.