suria

Legenda muzik Kenny Rogers meninggal dunia pada usia 81 tahun

Kematian Kenny dimaklumkan oleh keluarga.

PEMUZIK legenda Kenny Rogers meninggal dunia pada usia 81 tahun, Jumaat lalu.

Menurut laporan CNN, khabar sedih itu dimaklumkan oleh keluarga mendiang menerusi satu kenyataan media pada Sabtu.

"Kenny Rogers meninggal dalam keadaan yang baik di rumah akibat punca semulajadi dikelilingi oleh keluarga," kata wakil keluarga tanpa menyebut secara terperinci punca kematian.

Dalam pada itu, pihak keluarga memaklumkan upacara pengebumian akan dilakukan secara tertutup.

Keputusan itu diambil sebagai langkah pencegahan dan kebimbangan mengenai penularan wabak Covid-19.

Terdahulu, semasa bergiat aktif dalam industri seni, Kenny Rogers memenangi anugerah Grammy sebanyak tiga kali dan dikenali menerusi lagu The Gambler, Lucille dan Islands In The Stream.

Pada 2018, Kenny membatalkan jadual konsert jelajah kerana masalah kesihatan.

Pemuzik berasal dari Texas, Amerika Syarikat ini memulakan karier pada akhir tahun 1950-an dan dikenali menerusi genre muzik rock, jazz dan country.

Namanya semakin dikenali selepas berkolaborasi dengan Dolly Parton dan penampilan dalam filem serta program televisyen termasuklah The Muppet Show.

Kenny Rogers

Artikel Lain