suria

Maia Estianty tumbuh jerawat memikirkan nasib 'frontliners' melawan Covid-19

Maia Estianty

PENYANYI Maia Estianty meluahkan rasa bimbang terhadap nasib pasukan perubatan dalam menghadapi wabak Covid-19 yang semakin serius.

Dipetik laporan Liputan6, Maia memberitahu wajahnya ditumbuhi jerawat kerana terlalu memikirkan nasib yang menimpa pasukan perubatan.

"Muka saya timbul jerawat sebab terlalu memikirkan video rakan-rakan pasukan perubatan yang menangis berkata 'saya tidak mahu mati'," katanya.

Maia berkongsi perkara itu ketika membuat siaran langsung di Instagram Glitzmedia pada Rabu.

Bekas ahli kumpulan Ratu itu berkata dia berasa bangga terhadap petugas barisan hadapan dan turut memberikan kata-kata semangat.

"Saya sangat bangga dan menghargai semua kakitangan perubatan. Mereka reda tidak berjumpa dengan keluarga kerana perlu bekerja.

"Ini adalah jihad untuk melakukan yang terbaik. Walaupun ada perkara buruk yang terjadi, awak akan mendapat ganjaran yang besar.

"Ini merupakan peperangan terhadap sesuatu yang tidak dapat dilihat. Awak berjuang untuk membantu rakyat," katanya lagi.

Dalam pada itu, Maia turut mengajak orang ramai untuk bersama-sama melawan wabak Covid-19 ini.

"Sekurang-kurangnya kita ringankan beban pegawai perubatan. Tolong bantu mereka dengan memakai penutup muka, menjaga kesihatan.

“Kita mesti bekerjasama untuk melawan Covid-19 ini," ujarnya.

Maia Estianty

Artikel Lain