suria

Hos rancangan 'MythBusters' Grant Imahara meninggal dunia akibat aneurysm

Grant Imahara meninggal dunia di usia 49 tahun.

BEKAS hos rancangan sains popular MythBusters, Grant Imahara disahkan meninggal dunia pada usia 49 tahun, awal pagi Selasa.

Grant yang mempunyai darah kacukan Jepun-Amerika Syarikat ini dilaporkan mengalami penyakit 'brain aneurysm' di mana berlaku pembengkakan pada dinding salur darah arteri yang menyalurkan darah ke otak.

Rakan baiknya yang juga bekas hos bersama rancangan itu, Adam Savage melalui ciapan yang dimuat naik di laman Twitter mengakui terkejut tentang berita kematian Grant.

"Saya hilang kata-kata, tiada ayat yang boleh menggambarkan kesedihan saya. Kami adalah satu keluarga besar yang telah saling mengenali antara satu sama lain selama lebih 22 tahun.

"Dia adalah seorang jurutera, artis dan host yang sangat hebat. Anda akan dirindui Grant," tulis Adam.



Grant bersama bekas hos bersama Mythbusters.

Grant terkenal dengan ciptaannya yang membabitkan barangan elektronik serta robot untuk rancangan MythBusters.

Dia kemudian mengacarakan program popular saluran Netflix iaitu White Rabbit Project.

Sebelum membuat kemunculan di kaca TV, Grant pernah bekerja bersama produksi Lucasfilm's yang terkenal dengan penghasilan filem-filem Star Wars.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Grant Imahara

Artikel Lain