SALAH seorang penembak tepat kumpulan Lawrence Bishnoi mendedahkan bahawa mereka merancang untuk membunuh aktor Bollywood Salman Khan. Penembak tersebut dikenali sebagai Rahul ditahan polis selepas didakwa terlibat dalam pembunuhan seorang penduduk Faridabad, India. ARTIKEL BERKAITAN: Salman Khan dikecam gara-gara rampas telefon peminat yang ingin selfie Menurut pegawai perhubungan awam Balai Polis Faridabad iaitu Sube Singh, Rahul pergi ke kawasan kediaman Salman di Bandra dan berada di sana selama dua hari untuk membuat tinjauan. "Ketika disoal siasat, Rahul beritahu dia pergi ke Mumbai pada bulan Januari untuk melakukan pembunuhan ke atas Salman Khan. "Dia pergi ke kawasan rumah pelakon itu yang terletak di Bandra dan berada di sana selama dua hari untuk melihat keadaan di sana. "Dia melakukannya atas arahan Bishnoi dan seorang lagi ahli kumpulan tersebut iaitu Sampat Nehra yang pernah melakukan perkara sama sebelum ditangkap pada Jun 2018," katanya. Tambah Sube, Rahul kini berada dalam tahanan polis dan akan menjalani soal siasat selanjutnya. "Dia dihadapkan ke mahkamah dan kini berada dalam tahanan polis untuk soal siasat selanjutnya," ujarnya. Sumber: Filmfare Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!