suria

Alwiansyah budak 11 tahun popular kerana mimik muka lucu sambil menyanyi... rupa-rupanya hebat mengaji dan beatbox!

Alwiansyah popular di laman sosial kerana ekspresi wajahnya ketika menyanyikan lagu.

NAMA kanak-kanak lelaki berasal dari Indonesia, Alwiansyah tular di media sosial dan menjadi sebutan netizen berikutan mimik muka lucunya ketika menyanyikan lagu-lagu popular.

Gara-gara keistimewaannya itu, Alwiansyah, 11, menerima pelbagai undangan program televisyen di Indonesia dan video nyanyiannya itu trending di laman YouTube.

Menurut laporan Tribunnews, Alwi yang berasal dari Kampung Amamut, Kecacatan Samaturu, Sulawesi Tenggara, Indonesia bukan sahaja boleh menyanyi dengan baik, malah pandai mengaji dan melakukan beatbox.

Dalam rakaman temubual bersama YouTuber Atta Halilintar, Alwi memberitahu pernah memenangi pertandingan bacaan Al-Quran di kampung halamannya.



Keistimewaan Alwiansyah menyanyi lagu dengan mimik muka lucu menarik perhatian netizen di Indonesia dan Malaysia.

"Bukan boleh menyanyi sahaja, ternyata baca Al-Quran juga bagus.

"Ini memang luar biasa, suara emas yang cukup istimewa, ekspresi lucu dan ada daya tarikan tersendiri untuk masyarakat," kata Atta.

Dalam pada itu, Alwi turut menunjukkan kebolehannya menggunakan mulut menghasilkan pelbagai bunyi dan irama (beatbox).

Ditanya mengenai kehidupan harian, Alwi berkata selepas selesai sesi persekolahan, dia akan membantu ibunya mengambil upah memetik cengkih di ladang kepunyaan seorang penduduk kampung.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain