SELEPAS hampir empat tahun mendirikan rumah tangga, Rain yang cukup dikenali sangat tertutup mengenai kehidupan peribadi akhirnya mendedahkan berapa lama dia berusaha mendapatkan perhatian pelakon Kim Tae Hee untuk menjadi pasangan hidup. Pendedahan itu dibuat Rain atau nama sebenarnya, Jung Ji-hoon, 38, secara eksklusif menerusi rancangan web kendalian, Season B Season. Episod itu memperlihatkan Rain mengunjungi kediaman seorang peminat setia, sebelum peminat tersebut bertanyakan tentang sejarah perkenalan Rain dan isteri. "Saya tertanya-tanya apa yang membuatkan Tae Hee boleh jatuh cinta dengan Rain dan siapa yang memulakan langkah pertama di antara kalian," soal peminat berkenaan. Menjawab persoalan itu, Rain kemudiannya menjelaskan selama setahun dia cuba mengambil hati Tae Hee, 40, yang pada mulanya bersikap jual mahal. "Saya yang ajak dia keluar dulu dan agak lama untuk mendapatkan persetujuan untuk keluar dating dengan saya. "Selama setahun cinta saya hanya bertepuk sebelah tangan sahaja," kata Rain secara berseloroh. Rain dan Tae Hee berkahwin pada 19 Januari 2017 dan rumah tangga mereka diserikan dengan kehadiran dua cahaya mata. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!