PELAKON Shia LaBeouf menafikan kesemua tuduhan yang dilemparkan oleh bekas teman wanitanya, penyanyi, FKA Twigs berhubung dakwaan dia pernah mendera emosi dan fizikal wanita tersebut. FKA atau nama sebenarnya, Tahliah Barnett, 33, mengambil tindakan undang-undang pada Disember lalu dengan mendakwa aktor itu sangat berbahaya kepada semua wanita di luar sana. Dalam dakwaannya, FKA mengakui dirinya pernah dicekik, ditarik masuk ke dalam kereta selain Shia akan memarahinya sekiranya dia berbual dengan lelaki lain sepanjang mereka berhubungan. Peguam Shia menafikan segala pertuduhan tersebut yang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Los Angeles, Amerika Syarikat pada Jumaat. Menurut peguamnya, Shia tidak pernah melakukan kekerasan fizikal terhadap FKA dan meminta semua pertuduhan tidak berasas itu digugurkan. Shia, 35, yang popular menerusi francais filem Transformers, mengatakan semua dakwaan itu adalah fitnah semata-mata. Bagaimanapun dia memohon maaf terhadap FKA sekiranya bekas kekasihnya itu pernah terluka dengan tindakannya sepanjang mereka bercinta. Shia dan FKA mula berpacaran pada 2019 ketika digandingkan bersama dalam filem Honey Boy. Pasangan ini kemudiannya berpisah selepas setahun bercinta. - BBC