suria

Sambut ulang tahun ke-28, Suga BTS derma RM300,000 kepada kanak-kanak derita kanser

Suga baharu menyambut hari jadinya yang ke-28 tahun pada 9 Mac lalu.

AHLI kumpulan Kpop popular BTS, Suga mendermakan wang berjumlah AS$88,000 (RM362,384) kepada kanak-kanak yang menderita penyakit kanser.

Wang itu disumbangkan kepada Pusat Perubatan Universiti Keimyung Dongsan yang terletak di kampung halaman Suga di Daegu, Korea Selatan.

Suga atau nama sebenarnya, Min Yoon-gi menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-28 pada 9 Mac lalu.

"Saya terpanggil untuk membantu kanak-kanak ini bagi mendapatkan rawatan yang sempurna kerana ada di kalangan mereka yang tidak bernasib baik apabila keluarga berdepan dengan masalah kewangan.

"Saya hanya ingin melihat adik-adik ini membesar dengan sihat dan mempunyai masa depan yang cerah," kata Suga.

Sementara itu, pengarah hospital tersebut, Cho Chi-heum menzahirkan penghargaannya di atas sumbangan Suga yang telah menunjukkan contoh baik sebagai seorang selebriti yang terkenal.

BTS yang ditubuhkan pada 2013 dianggotai oleh (dari kiri), J-Hope, Jimin, Jungkook, Jin, RM, Suga dan V.

"Kami sangat tersentuh dengan sumbangan yang diberikan Suga. Saya harap pengaruh positif yang ditunjukkan Suga dapat disebarkan secara meluas di kalangan masyarakat.

"Saya sendiri rasa berbangga dengan kejayaan BTS dan saya doakan kumpulan ini akan terus memenangi hati semua orang di seluruh dunia," katanya.

Selain sering tampil dengan lagu-lagu bermesej positif, setiap ahli kumpulan BTS turut dikenali dengan kemurahan hati mereka yang selalu memberi sumbangan untuk tujuan amal kebajikan.

Selain Suga, BTS yang ditubuhkan pada tahun 2013 turut dianggotai RM, Jin, J-Hope, Jimin, V dan Jungkook. - TheKoreaTimes

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Suga BTS, BTS, kerja kebajikan, Kpop

Artikel Lain