MENERUSKAN tradisi bulan Ramadan pada tahun-tahun sebelum ini, penyanyi dan komposer terkenal Indonesia, Melly Goeslaw menutup ruangan komen di Instagramnya selama sebulan demi menghormati bulan mulia. Menurut Melly, 47, tujuannya berbuat demikian adalah untuk mengajar netizen menahan diri daripada meninggalkan sebarang komen kurang enak sepanjang bulan Ramadan ini menerusi platform media sosial miliknya. "Mohon maaf seperti Ramadan tahun-tahun lalu, saya tutup komen selama satu bulan ini. "Buat yang rindu nak komen, sila tahan selama sebulan ya," katanya. Walaupun menutup ruangan komen, namun Melly tetap memberikan promosi percuma buat mana-mana peniaga kecil menerusi slot IG Live yang dilakukannya setiap kali selepas selesai solat tarawih. "Untuk peniaga-peniaga kecil yang perlukan promosi, saya akan bantu iklankan secara percuma setiap malam di IG Live setelah kita semua selesai solat tarawih ya," ujarnya. - Liputan6 Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!