suria

Peminat teruja, tak sabar nak jumpa Justin Bieber di KL Oktober ini... Tiket bermula harga RM288

Peminat tak sabar menyaksikan persembahan Justin Bieber.

BERITA gembira buat peminat Justin Bieber, bintang pop terkenal itu mengumumkan tarikh baharu konsert jelajah Justice World Tour yang akan diadakan di 20 buah negara tahun ini.

Dalam pengumuman itu, Justin Bieber turut menyenaraikan Stadium Nasional Bukit Jalil di Kuala Lumpur sebagai lokasi persembahan pada 22 Oktober depan.

Penyanyi kelahiran Kanada itu dijangka membuat persembahan terbuka di Jakarta, Nagoya, Osaka, Tokyo yang merangkumi 100 hari sehingga tahun 2023.

Selain negara-negara Asia, penyanyi yang terkenal dengan lagu Anyone itu juga dijangka membuat persembahan konsert istimewanya di hadapan peminat di Amerika Utara, Amerika Selatan, Eropah, United Kingdom, Australia, New Zealand, Afrika Selatan dan Timur Tengah.

Wakil penganjur, PR Worldwide dan AEG yang bertanggungjawab membawa penyanyi itu memberitahu, syarikat itu akan mengambil semua langkah-langkah keselamatan bagi menjamin persekitaran yang selesa dan selamat bukan sahaja untuk kakitangan, artis dan kru malah juga kepada penonton.

41647916588_JustinBieber

Justin adakan konsert siri jelajah di 20 negara.

Ujarnya lagi, konsert itu akan diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk pengunjung perlu melengkapkan vaksinasi Covid-19 dan tiket dijual secara dalam talian.

Tiket dijual bermula 31 Mac depan dengan harga RM288 hingga RM2,088 untuk tiket VIP.

Sementara itu, menjengah laman Twitter, rata-rata peminat menggelar diri mereka Beliebers meluahkan rasa teruja dan tidak sabar menantikan hari konsert berkenaan.

"Dah lama tunggu nak konsert Justin lagi. Akhirnya Oktober ini dapat berjumpa idola saya lagi.

"Tak sabarnya menanti. Saya akan jadi orang pertama beli tiket. Memang dah lama nak tengok konsert Justin Bieber secara langsung," tulis peminat.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain