suria

Ibu tumpang lahir bayi pramatang, Priyanka Chopra akhirnya dapat bawa balik anak selepas 100 hari di NICU

Priyanka dan Nick kongsi foto anak mereka.

SELEPAS 100 hari dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), akhirnya pasangan selebriti terkenal Priyanka Chopra dan suaminya Nick Jonas melahirkan rasa teruja dapat membawa pulang bayi perempuan mereka.

Priyanka menerusi laman Instagram miliknya mengakui dia dan suami berdepan dengan pelbagai cabaran sepanjang beberapa bulan anak mereka yang lahir pra-matang menerima rawatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tahniah! Priyanka Chopra, Nick Jonas timang anak pertama guna khidmat ibu tumpang

Berterima kasih kepada doktor, pakar dan jururawat, Priyanka tetap menganggap pengalaman yang mereka lalui itu sangat berharga dan sempurna selain teruja mahu menjalani kehidupan dengan bayi perempuan mereka.

Kami sangat gembira anak perempuan kami sudah pulang ke rumah.

PRIYANKA CHOPRA

PELAKON

"Sempena Hari Ibu, kami lalui banyak cabaran sepanjang beberapa bulan ini, di mana kami tahu ramai juga melalui pengalaman yang sama. Selepas lebih 100 hari di NICU, anak perempuan kami akhirnya pulang ke rumah.

"Setiap keluarga melalui perjalanan hidup yang unik dan memerlukan keyakinan manakala kami berdepan dengan cabaran beberapa bulan ini namun kami anggap ia satu momen yang berharga dan sempurna.

"Kami sangat gembira anak perempuan kami sudah pulang ke rumah, dan mahu berterima kasih kepada setiap doktor, jururawat dan pakar di Rady Children’s La Jolla serta Cedar Sinai, Los Angeles yang turut berada di setiap langkah kami.

"Babak baharu kami bermula sekarang, bayi kami sangat berharga. Mommy dan daddy sangat menyayangi awak," tulis Priyanka.

Priyanka

Priyanka dan suaminya, Nick Jonas.

Pelakon Bollywood terkenal itu juga memuat naik foto dia sedang mendukung bayi perempuan yang diberi nama Malti Marie Chopra Jonas namun menutup wajah anaknya.

Pada Januari lalu, Priyanka dan Nick berkongsi berita gembira mereka menyambut bayi sulung mereka melalui kaedah ibu tumpang dan memohon agar diberikan ruang privasi untuk fokus kepada keluarga.

Difahamkan, ibu tumpang tersebut melahirkan bayi berkenaan di usia kandungan 27 minggu di Hospital Southern California.

Untuk rekod, Nick dan Priyanka yang berkahwin pada 1 Disember 2018 berkongsi berita gembira tersebut menerusi laman Instagram masing-masing.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain