SELEPAS 18 tahun bersama, akhirnya pemain dram Brian Kresna Putro mengambil keputusan untuk keluar daripada kumpulan Sheila On 7 sejak 6 April lalu. Memetik laporan Liputan6, keputusan itu dibuat selepas perbincangan dan pertimbangan yang panjang antara ahli kumpulan tersebut. Menurut pengurus, biarpun sukar untuk menerima keputusan itu namun anggota Sheila On 7 iaitu Duta, Eros, dan Adam terpaksa akur. "Sejak 6 April lalu, Brian Kresna Putro bukan lagi sebahagian dari Sheila On 7. Keputusan ini mendapat kata sepakat selepas melalui perbincangan, pertimbangan yang panjang dan tentunya bincang juga dengan Brian. "Insya-Allah semua ini kami jalani dengan penuh keikhlasan untuk tujuan yang terbaik bagi perjalanan hidup kedua-dua belah pihak di masa kelak," katanya. Selepas berita tersebut tersebar, rata-rata peminat kumpulan yang popular dengan lagu Sephia itu meluahkan rasa sedih di laman sosial. Malah nama akaun Instagram Brian yang sebelum ini BrianSO7 kini sudah ditukar menjadi BrianKresnaPutro. Untuk rekod, Brian mula menjadi pemain dram tambahan sejak 2004 selepas kumpulan tersebut ditinggalkan Anton Widi Astanto dan dua tahun kemudian dia menjadi ahli tetap. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI