suria

Tunang Lucinta Luna ‘naik angin’ pengacara berani soal tentang jantina… “Saya lebih percaya bakal isteri saya”

Alan tidak dapat menerima kenyataan tunangnya seorang transgender.

TUNANG kepada selebriti media sosial Lucinta Luna iaitu Alan mengamuk apabila pengacara Deddy Corbuzier mempersoalkan mengenai jantina bakal isterinya itu.

Dalam rakaman video yang tular, Alan tidak dapat menerima hakikat apabila Deddy memberitahu Lucinta merupakan seorang transgender.

Tampil mempertahankan tunangnya, Alan berkata dia lebih mempercayai Lucinta yang dilahirkan sebagai wanita.

"Tunggu! Saya mahu mengatakan sesuatu kerana ramai yang memberitahu saya bahawa Luna seorang lelaki.

lucinta2 - 1

Lucinta dan Alan menjadi tetamu undangan dalam siaran podcast Deddy.

"Saya mahu memberitahu kepada semua... dia adalah seorang wanita sejak lahir lagi. Saya percaya kepada bakal isteri saya," katanya.

Sebelum itu, pasangan ini dijemput sebagai tetamu undangan untuk siaran podcast yang dimuat naik di laman YouTube milik Deddy.

Situasi menjadi tegang apabila Deddy berniat untuk membongkar identiti selebriti media sosial popular Indonesia itu dengan mengatakan dia seorang transgender.

ARTIKEL BERKAITAN: Lucinta Luna dan jejaka Inggeris mahu bertunang, netizen minta bertaubat

ARTIKEL BERKAITAN: Putus sebab nafsu buas, Lucinta Luna dedah kena tampar ketika hubungan intim - "Muka ini mahal"

Lucinta atau nama sebenarnya Muhammad Fatah, 34, terpaksa meleraikan kekecohan tersebut dengan menghentak meja dan meminta kedua-dua mereka untuk berhenti berdebat.

Dalam pada itu, Alan meluahkan rasa kesal apabila kunjungan mereka ke studio berkenaan untuk tujuan berkongsi kisah perkahwinan akhirnya ditanya berkaitan dengan isu yang tidak sepatutnya.

"Kenapa kamu (Deddy) selalu cakap dia transgender? Kami datang ke sini untuk berkongsi perasaan... bercerita tentang lamaran dan pernikahan kami," ujarnya.

Lucinta juga memberitahu dirinya kecewa apabila dituduh sebagai transgender, termasuk ramai netizen yang menghantar mesej kepada Alan untuk membongkar identiti sebenarnya.

Kata Lucinta, dia juga berhak untuk mengecapi kebahagiaan bersama tunangnya itu.

"Saya juga sakit hati... saya ini wanita tapi kamu (Deddy) seolah-olah ingin membuatkan tunang saya percaya tentang perkara (transgender) ini.

lucinta1 - 1

Alan dan Lucinta bertunang pada akhir Julai lalu.

"Alan sudah banyak menerima DM daripada netizen yang memberi kecaman terhadap saya. Apa lagi yang mereka mahukan? Saya juga berhak untuk bahagia," katanya.

Pada 28 Julai lalu, Lucinta mengumumkan pertunangannya bersama Alan yang diadakan di Bali, Indonesia.

Kata Luna, pertunangan tersebut mendapat restu ibu bapa kedua belah pihak malah mereka turut menghadiri acara berkenaan.

Bagaimanapun, perkara itu mendapat tentangan daripada netizen yang kurang senang dengan tindakan Lucinta Luna.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain