suria

Daud Kim minta henti hulur sumbangan bina masjid ke akaun peribadi, tiada niat perdaya orang ramai

Daud minta orang ramai tidak mudah percaya terhadap tuduhan tentang dirinya.

HASRAT Youtuber asal Korea Selatan, Daud Kim membina sebuah masjid di daerah Incheon terpaksa ditangguhkan susulan mendapat banyak tentangan daripada pelbagai pihak.

Ia susulan ramai mempertikaikan kaedah pungutan dana bagi tujuan itu yang disalurkan terus ke akaun peribadinya.

Daud berkata, dia akan mencari jalan terbaik agar niat murni itu dapat diteruskan dalam masa terdekat tanpa sebarang masalah.

daud kim 3

Daud akan mencari jalan terbaik agar niat membina masjid dapat diteruskan.

"Selepas pempengaruh Muslimah Korea membangkitkan isu ini secara terbuka, saya menerima banyak tentangan dan ugutan.

"Pemilik tanah di Incheon juga minta pembinaan dibatalkan namun saya akan tunjukkan kepada anda semua dana dalam masa terdekat," katanya.

Daud atau Jay Kim, 41, berkongsi luahan tersebut di Instagram miliknya pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Daud Kim minta sumbangan bina masjid, Farah Lee luah rasa curiga... Korea Selatan haram akaun peribadi kutip derma

ARTIKEL BERKAITAN: Bergambar depan Kaabah, YouTuber Daud Kim segak pakai ihram... Jalani ibadah puasa di Makkah dan Madinah

Berhubungan isu kutipan dana menerusi akaun peribadi, Daud akui terlepas pandang dan meminta orang ramai berhenti menghulurkan sumbangan buat sementara waktu.

"Membuka akaun peribadi adalah permintaan pengikut di media sosial. Saya ingin jelaskan bahawa ia bukan untuk kegunaan peribadi.

"Saya tidak sedar ia akan menjadi satu kesalahan undang-undang. Justeru saya minta agar orang ramai berhenti memberi sumbangan kepada akaun peribadi sehingga isu ini selesai," jelasnya.

Niat adalah adalah suci untuk membina rumah Allah

DAUD KIM

YOUTUBER

Dalam masa sama Daud juga berjanji akan bersikap lebih telus terutama melibatkan sumbangan orang ramai dalam pembinaan masjid berkenaan.

"Saya akan tukar kepada akaun korporat dan ia dilakukan dengan lebih telus. Ia mengambil sedikit masa untuk menguruskan wang yang telah saya terima setakat ini.

"Niat adalah adalah suci untuk membina rumah Allah. Saya tiada niat untuk memperdaya orang ramai. Semoga anda tidak percaya terhadap berita palsu," jelasnya.

daud kim 2

Niat Daud untuk membina masjid dipertikaikan sesetengah pihak.

Sebelum ini Daud berkongsi kegembiraan apabila dia berjaya membelii sebidang tanah di Incheon dan mahu menjadikan kawasan tersebut sebagai tapak pembinaan masjid.

Malah dia turut mengajak orang ramai untuk sama-sama memberi sumbangan dan dana boleh disalurkan ke akaun peribadi miliknya.

Bagaimanapun isu mula timbul apabila ada yang mendakwa dia cuba menipu orang ramai kerana undang-undang Korea Selatan melarang mana-mana pihak memungut sumbangan menerusi akaun peribadi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain