PELAKON Brad Pitt percaya bekas isterinya iaitu Angelina Jolie dalang di sebalik keputusan tiga anak mereka yang memfailkan permohonan menggugurkan nama keluarganya daripada nama mereka. Brad, 61, percaya tindakan itu adalah sebagai cara menghukumnya selain Angelina cuba memutuskan ikatannya dengan anak-anak mereka. Sumber terdekat pelakon itu turut memberitahu dia juga sangat terluka dengan keputusan yang dibuat anak-anaknya iaitu Zahara Marley Jolie-Pitt, Shiloh Nouvel Jolie-Pitt dan Vivienne Marcheline Jolie-Pitt. "Brad sangat terluka dan sedih sebab tiga anak kesayangannya mahu membuang nama keluarganya daripada nama mereka. Brad dakwa Angelina merupakan dalang anak-anaknya mahu menukar nama keluarga. "Dia juga mengesyaki Angelina terlibat dalam perkara ini," kata sumber berkenaan. Dalam pada itu, sumber sama memberitahu Brad sangat merindui anak-anaknya selepas hampir beberapa tahun mereka tidak bertemu. Katanya, walaupun terdapat pelbagai isu dan tuduhan yang berlaku namun dia tidak pernah berhenti menyayangi anak-anaknya. ARTIKEL BERKAITAN: Anak perempuan Angelina Jolie fail permohonan tukar nama, enggan dikaitkan dengan Brad Pitt ARTIKEL BERKAITAN: Brad Pitt kembali dilamun cinta, tapi sayangnya masih isteri orang "Dia menyayangi kesemua anak-anaknya dan merindui mereka. Ia sangat menyedihkan melihat Brad dalam keadaan terluka," ujarnya lagi. Sebelum ini, Zahara, 19, memperkenalkan dirinya sebagai Zahara Marley Jolie ketika menghadiri acara di sebuah kolej. Manakala Vivienne, 15, pula menggunakan nama Vivienne Marcheline Jolie dalam senarai kru pementasan teater The Outsider Broadway yang turut memperlihatkan Angeline sebagai penerbit. Tinggal kenangan... Brad dan Angelina bersama enam anak-anak mereka. Sementara Shiloh, 18, secara rasmi mengemukakan permohonan menukar nama di mahkamah bagi menggugurkan ‘Pitt’ daripada namanya. Bagaimanapun pasangan kembar Vivienne iaitu Knox Leon Jolie-Pitt tidak diketahui sama ada mengambil tindakan sama atau mengekalkan nama bapanya. Untuk rekod, Angelina dan Brad mendirikan rumah tangga pada 2014 namun perkahwinan itu hanya bertahan selama lima tahun sebelum mereka bercerai. Pasangan itu turut mempunyai dua lagi orang anak angkat lelaki iaitu Maddox Chivan Jolie-Pitt, 22 dan Pax Thien Jolie-Pitt, 20 tahun. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!